PETALING JAYA: Sebanyak 500 ekor lembu disasarkan AQ4U Global bagi melaksanakan ibadah korban di Bauchi, Nigeria pada bulan ini menerusi program dikenali Aqiqah Qurban For Ummah (AQ4U).
Menurut Pengarah Urusan AQ4U, Ustaz Muhammad Hirman Mukhtar, jumlah tersebut akan dapat membantu lebih 2,000 keluarga di sana menerusi pengagihan daging lembu kepada golongan miskin.

“Kami memilih Bauchi, Nigeria untuk melaksanakan ibadah qurban di sana kerana Bauchi, Nigeria yang merupakan salah satu negara Afrika yang kelapan termiskin di dunia dengan jumlah penduduk anggaran 6,530,000 pada tahun 2016.
“Sebanyak 85% penduduk di Bauchi, Nigeria adalah beragama Islam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, AQ4U yang berpengalaman selama tujuh tahun melakukan ibadah korban di luar negara berkata, harga haiwan ternakan seperti lembu dan kambing di sana adalah murah selain bekalan yang banyak dan mencukupi.
Katanya lagi, bermula Tahun 2018 AQ4U telah mengadakan ibadah akikah di Chad setiap bulan menerusi kerjasama Yayasan Al-Huda dan Yayasan Al-Birr yang merupakan Majlis Agama Islam di Chad.
“Matlamat AQ4U adalah bagi melahirkan perasaan ukhuwah dan kemanusiaan merentasi negara, bangsa dan warna kulit.
“Pada masa sama, kami ingin memudahkan umat lslam di Malaysia melaksanakan ibadah korban dengan harga berpatutan iaitu hanya RM350 untuk satu bahagian lembu dan RM570 untuk akikah kambing musim haji,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua peserta AQ4U yang terlibat akan diberi gambar, video program secara umum dan e-sijil di Bauchi, Nigeria dalam tempoh 30 hari selepas Hari Raya Aidiladha.
Tarikh tutup penyertaan AQ4U pada 27 June 2023 ini namun pihaknya masih sedia menerima penama untuk membuat qurban selepas tarikh tersebut.
Bagi yang berminat menyertai program AQ4U, mereka boleh menghubungi talian 019-742 6246 atau layari Facebook: Aqiqah Qurban for Ummah. – UTUSAN










