40 tahun Lefthanded, hadiah buat peminat - Utusan Malaysia

40 tahun Lefthanded, hadiah buat peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DITUBUHKAN pada tahun 1979 dan pernah menyertai pertandingan Juara Rock pada tahun 1983 , nama Lefthanded mula dikenali ketika era 90-an sewaktu kegemilangan Battle Of The Bands.

Bagi penggemar muzik rock, karya yang dipersembahkan mereka bukan sahaja unik dan mempunyai keaslian tersendiri, malah berjaya mencipta dimensi baharu dengan kelas tersendiri.

Bukan ingin memuji berlebihan tetapi itulah fakta yang harus diakui sehinggakan kumpulan ini dilabel sebagai godfather rock Malaysia.

Dibarisi oleh gura hebat seperti Nashrudin Elias (Nash), Abdul Rahman Mahmod (Man Kidal), Abdul Samad Mian (Samad), Amran Marsiman (Yan) dan Abdul Rahman Othman (Man Dayak) kumpulan ini terus mengukir nama sekali gus mencetuskan fenomena luar biasa buat peminat rock tanah air.

Legasi Lefthanded terhenti seketika apabila pemain gitarnya, Samad, 45, meninggal dunia pada 23 Oktober 2008 kerana sesak nafas.

Pada 15 Mac 2016 kumpulan ini diuji sekali lagi apabila pemain dramnya, Man Dayak pula dijemput Ilahi pada usia 54 tahun akibat serangan jantung.

Berita duka ibarat datang bertalu-talu apabila pada tahun sama penyanyinya Syed Azlan Abu Bakar atau lebih dikenali dengan nama Arab yang menggantikan Nash ketika itu pula meninggal dunia kerana komplikasi jantung.

Bertemu Man Kidal pada sesi latihan Konsert Lefthanded 40 Tahun Rockestra yang bakal berlangsung di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre pada malam 3 Jun ini, dia tidak berselindung menyatakan rasa sedih apabila kehilangan rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama membina nama sebelum ini.

Namun legasi ini perlu diteruskan demi membuktikan Lefthanded masih wujud dalam radar scene rock tanah air. Bercerita tentang pengganti yang bakal mengemudi konsert ini nanti, Man Kidal memberitahu pada awalnya agak sukar untuk dia membuat keputusan.

Bukan kerana tidak percaya dengan bakat yang dimiliki oleh rakan-rakan lain tetapi dia harus memilih individu yang berkarisma terutamanya mereka yang ada ‘jiwa’ dengan muzik Lefthanded.

“Ketika penganjur tawarkan untuk konsert ini saya berfikir panjang. Saya bincang dengan Datuk Nash siapa yang perlu kami pertaruhkan. Ini konsert 40 tahun Lefthanded pastinya kami perlu pilih individu yang terbaik untuk peminat. Bukan sekadar tangkap muat sahaja.

“Setelah berbincang kami buat keputusan bersama. Mereka yang dipilih haruslah ada ‘jiwa’ Lefthanded. Mereka perlu tahu muzik kami, sejarah kami dan yang paling penting mampu mencetuskan aura ketika berada di pentas kerana ini konsert ulangtahun yang ke -40. Benchmark Lefthanded!” katanya.

Menurutnya walaupun anggota yang dipilih untuk membarisi Lefthanded ketika ini hanyalah bersifat sessionist namun mereka bukanlah individu asing dalam scene rock tanah air.

Selain mempunyai pengalaman luas mereka juga punyai pengikut tersendiri.

“Antara muka baharu yang ditonjolkan pada konsert ini nanti ialah pemain dram, Ha z Dayak yang merupakan anak arwah Man Dayak. Dia bukan sekadar mewarisi kehebatan arwah bapanya, malah sebagai penyambung legasi Lefthanded selepas ini. Saya dan Nash juga sudah setuju untuk memberikan jenama ‘Lefthanded’ ini kepadanya andai dia berminat untuk meneruskan perjuangan kumpulan ini pada waktu akan datang.

“Anggota lain seperti Ritz Roza dan Fly juga tidak perlu disangkal lagi. Skill mereka menepati apa yang kami mahukan. Pastinya saya percaya kebolehan mereka untuk menggalas tanggungjawab pada malam itu nanti,” katanya.

Ketika diajukan soalan tentang nama-nama yang pernah menganggotai Lefthanded sebelum ini, dia akui ada menyimpan impian itu.

Namun hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan pada waktu ini memandangkan terdapat beberapa faktor penting yang tidak dapat dielakkan terutamanya dari segi bajet dan beberapa faktor lain.

Tidak pernah menyimpan dendam atau bermusuh, dia sendiri akui mereka yang pernah bersama kumpulan ini adalah insan-insan hebat yang berjaya mencetuskan revolusi sehinggakan nama Lefthanded di kenali ke mercu puncak sehingga hari ini.

Mengakui bukan mudah untuk menempa nama dan kekal relevan, jadi peluang yang diberikan kali ini haruslah dimanafaatkan sepenuhnya walaupun keberadaan kumpulan ini di pentas boleh dihitung dengan jari dan bukannya memenuhi carta kalendar tahunan.

“Memang Lefthanded merupakan jenama besar dalam scene rock tanah air, namun untuk berada atas satu pentas adalah sesuatu yang sukar. Seperti yang saya beritahu tadi apabila tiga orang anggota meninggal dunia, kami sukar mencari pelapis baharu. Bukan sekadar boleh bermain muzik tetapi kena ada jiwa dan aura Lefthanded. Itu yang rumit,” katanya.

Menurut pemain keyboard, Roza yang juga merupakan pengarah muzik pada malam itu, konsert yang berdurasi lebih dua jam ini bakal diiringi oleh barisan pemuzik orkestra yang pastinya akan memberi kelainan dalam bentuk penyusunan muzik terutamanya dari segi persembahan.

“Walaupun sebelum ini saya pernah bekerja sama dengan beberapa buah kumpulan rock yang menggunakan khidmat orkestra, namun saya tidak boleh pandang mudah dan remeh kerana setiap kumpulan ada identiti tersendiri.

“Walaupun ada perubahan dari segi penyusunan muzik namun kita tidak boleh lari jauh dari identiti sedia ada. Kesinambungan muzik asal dan orkestra yang ditonjolkan perlulah seiring supaya peminat dapat melihat keaslian dan keunikannya. Kita ingin cipta sejarah tersendiri dan beri kepuasan kepada penonton yang hadir,” katanya.

Ketika diajukan sosok jemputan yang bakal mengiringi persembahan pada malam tersebut, Man Kidal tidak mena kan tiga individu pilihannya iaiitu Hazama, Yazid (Lovehunters) dan Datuk Hattan adalah insan sesuai yang boleh membantu merealisasikan konsert gemilang itu.

Katanya, pemilihan mereka bukanlah berdasarkan populariti tetapi lebih kepada aura Lefthanded itu sendiri. Tidak menilai seseorang itu junior mahupun senior, namun yang penting adalah keupayaan mereka untuk menarik sokongan peminat yang hadir, malah pihak penganjur juga bersetuju dengan nama yang telah disyorkan.

“Buat penonton yang hadir pastinya Lefthanded akan berikan sesuatu yang terbaik. Bukan sekadar meletakkan jenama 40 tahun sebagai penanda aras, tetapi kami mahu penonton yang menyaksikan persembahan pada malam itu akan pulang dengan rasa puas dan terhibur.

“Dan jika konsert ini berjaya tidak mustahil kami akan bergerak ke hadapan untuk membuat persembahan seterusnya terutamanya di Sarawak, Sabah dan juga Singapura,” katanya mengakhiri perbualan.

Konsert Lefthanded 40-tahun Rockestra yang akan berlangsung pada 3 Jun 2023 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada jam 8.30 malam ini dianjurkan oleh Menara Network Sdn Bhd dan akan dibarisi oleh Datuk Nash, Man Kidal, Ha z Dayak, Ritz, Roza dan Fly. Tikettiket berharga RM99, RM158, RM238, RM328, RM488 dan RM588 (meet & greet) masih boleh dibeli di: www. ticket2u.com.m

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya