2 ditahan polis tak sempat samun pelancong

2 ditahan polis tak sempat samun pelancong

A. ASMADI ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan dua penyamun warga asing mencuri wang milik seorang pelancong Vietnam di Bulatan Dataran Putra, Putrajaya terbongkar selepas dia ditahan pada Jumaat lalu.

Dua suspek ditahan terdiri dari lelaki Pakistan dan wanita Iran yang masuk menggunakan visa pelancong Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku semasa mangsa sedang mengambil gambar di lokasi kejadian pada 4 petang sebelum didatangi dua suspek terbabit.

Kata beliau, modus operandi kedua-dua suspek dengan mendekati mangsa lalu berinteraksi dan bertanya datang dari mana sebelum meminta untuk melihat mata wang dari negara asal mangsa.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa kemudian akan mengeluarkan dua keping not 10,000 dan 50,000 Dong Vietnam dari dompetnya untuk menunjukkan mata wang itu kepada suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Asmadi, kedua suspek tidak sempat melarikan duit berkenaan memandangkan interaksi antara suspek dan mangsa berkenaan diperhatikan Unit Polis Pelancong Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya lantas bertindak menahan kedua-dua mereka.

“Sebelum ini, satu laporan polis diterima berhubung kes curi duit pelancong warga asing dengan cara berinteraksi dengan mangsa kononnya berminat melihat mata wang melibatkan mangsa lelaki dari Tunisia.

“Tanpa disedari suspek menyeluk wang tunai berjumlah 400 USD dari bag mangsa. Mangsa hanya menyedari kehilangan wang itu selepas beredar dari lokasi kejadian,” jelasnya.

Asmadi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jika kedua-dua suspek berkenaan terlibat dalam kes melibatkan pelancong Tunisia terbabit.

Katanya, pihak polis sedang mengumpulkan gambar dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan berikutan mangsa dalam kedua-dua kes sudah pulang ke negara asal masing-masing.

“Hasil soal siasat, lelaki Pakistan berusia 58 tahun terbabit mengaku datang ke Malaysia untuk menjalankan perniagaan jualan karpet dan pakaian.

“Supek wanita berusia 31 tahun pula mendakwa kononnya ketika kejadian suaminya sedang membeli makanan untuk anak, namun perkara itu masih dalam siasatan,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki masuk dari Penang dan kini menetap di sebuah hotel sekitar Chow Kit manakala suspek wanita menetap di hotel di Kuchai Lama.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah sila hubungi 0388862222/2145,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN