Tuntutan Sulu : Kerajaan akan pertahan maruah

Tuntutan Sulu : Kerajaan akan pertahan maruah

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kerajaan memberi jaminan untuk terus membela selagi berdaya untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan Malaysia dalam isu berkaitan Tuntutan Sulu ke atas Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata,kerajaan Madani ini akan memberi perlindungan  dan keselamatan terhadap kedaulatan negara ini. 

“(Kerajaan beri) jaminan, kita akan membela selagi ada kebolehan kita membela maknanya tinggi mana langit, tinggi mana gunung, gelap mana pun bulan, kami akan membela maruah kedaulatan negara Malaysia, “ ujarnya dalam ucapan Perasmian Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara Dalam Timbang Tara Komersial, hari ini.

Beliau berkata, waris Kesultanan Sulu yang menuntut hak terhadap Sabah tidak boleh menggunakan membawa isu tersebut ke mahkamah arbitrasi memandangkan perkara berkenaan tidak termaktub dalam Perjanjian 1878.

Azalina berkata, berdasarkan perjanjian tersebut, klausa arbitari perdagangan tidak ditulis bagi membolehkan tindakan diambil di mahkamah tersebut.

“Perjanjian 1878 tidak ada klausa abitrasi dan abitrasi perdagangan ini perlu ada klausa, maknanya dalam perjanjian kena tulis apabila ada pertikaian harus dibawa berbincang.

“Tetapi dalam perkara ini tidak berlaku,” kata beliau lagi. 

Untuk rekod, pada tahun 1878, Kesultanan Sulu diwakili Sultan Jamalul Alam dan Syarikat Borneo Utara British diwakili Alfred Dent dan Gustav von Overbeck menandatangani perjanjian menetapkan Borneo Utara (Sabah) diserahkan atau disewakan kepada Syarikat British dengan ganjaran 5,000 dolar Malaya setahun.

Bagaimanapun, Malaysia menghentikan bayaran wang serahan RM5,300 setahun kepada waris Kesultanan Sulu susulan serangan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.

Pada Januari 2018, firma guaman mewakili waris Sultan Sulu, memohon rundingan semula bayaran wang ihsan bawah Perjanjian 1878, failkan permohonan di Superior Court of Justice, Madrid untuk melantik penimbang tara.

Mengulas lanjut, Azalina berkata,kerajaan menekankan tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu tersebut adalah sesuatu yang dipersoalkan daripada aspek kesahihannya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga menilai proses mahkamah arbitrasi yang digunakan kumpulan tersebut termasuk keputusan pertama yang dibuat mahkamah di Madrid, Sepanyol.

“Apa yang menjadi satu titik persoalan begitu besar, keputusan di Sepanyol itu menunjukkan kerajaan berjaya mempertikai dan menolaknya.

“Pemberi award (Partial Award on Jurisdiction) tersebut, Dr (Gonzalo) Stampa, laporan polis juga telah dilakukan terhadap beliau kerana tindakannya bukan saja berat sebelah malah banyak pelanggaran dari segi proses,” katanya.

Dr Gonzalo adalah Penimbang tara yang mengeluarkan Partial Award on Jurisdiction sebelum Mahkamah Arbitrasi Perancis merekodkan keputusan beliau bahawa Malaysia perlu bayar RM62.59 bilion (AS$14.92 bilion) kepada waris terakhir Sultan Sulu kerana melanggar Perjanjian 1878.-utusan

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN