DHAKA: Bangladesh pada Khamis menaikkan harga gas petroleum cecair (LPG) yang digunakan untuk memasak dan gas asli mampat (CNG) bagi beberapa kereta sebanyak 29 peratus.
Kenaikan itu adalah disebabkan perang di Asia Barat yang memburukkan lagi krisis tenaga.
Negara Asia Selatan dengan 170 juta penduduk ini mengimport 95 peratus daripada keperluan minyak dan gasnya.
Dengan kenaikan harga terbaru ini, silinder LPG 12 kilogram akan meningkat dari 1,341 taka (RM44 ) kepada 1,728 taka (RM56).
Suruhanjaya Kawal Selia Tenaga Bangladesh mengumumkan harga baru pada Khamis. Ia menyatakan harga gas asli mampat untuk kenderaan bermotor akan meningkat dengan peratus yang sama.
Kementerian Pentadbiran Awam pada Ahad mengeluarkan beberapa arahan mengenai kehadiran di pejabat serta penjimatan elektrik dan bahan api.
Bangladesh berkata, ia sedang memohon pinjaman kira-kira AS$2 bilion (RM8 bilion) daripada penderma pelbagai pihak untuk menangani masalah tenaga.
Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk mengekang penggunaan bahan api. Ia termasuk menetapkan had pembelian bahan api, menghentikan pengeluaran di kebanyakan kilang baja dan menugaskan polis untuk menyelia stesen minyak. – AFP










