Tunai janji bentang, lulus RUU kawal produk rokok - Utusan Malaysia

Tunai janji bentang, lulus RUU kawal produk rokok

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk mengotakan janji dengan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan Generasi Penamat (GEG).

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, RUU bersama peruntukan GEG itu perlu dibentangkan dan diluluskan segera bagi mengatasi isu ketiadaan kawalan undang-undang terhadap produk rokok elektronik atau vape selepas pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952 pada 1 April lalu.

Tegas beliau, ketiadaan undang-undang yang jelas dan komprehensif bagi mengawal selia pengiklanan, promosi, pembungkusan, penjualan dan penggunaan produk itu mendedahkan risiko yang serius kepada kesihatan awam terutama golongan remaja dan kanak-kanak.

Tambahnya, penggunaan produk rokok elektronik atau vape dengan pelbagai perisa yang menarik dan taktik pemasaran ‘kotor’ oleh pemain industri telah menarik minat generasi muda untuk mencuba dan menggunakan rokok elektronik atau vape yang membawa risiko ketagihan dan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mereka.

“CAP ingin mengingatkan kerajaan mengenai janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 April lalu dalam sidang Dewan Rakyat untuk membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG pada sidang Parlimen Mei ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah berulang kali menyatakan pendirian untuk membentangkan RUU bersama peruntukan GEG melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Kesihatan.

“Oleh sebab, CAP menggesa kerajaan segera melaksanakan komitmen tersebut dengan membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG di Parlimen untuk menangani isu yang mendesak ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohideen, RUU Kawalan Produk Merokok tidak seharusnya dijadikan isu politik memandangkan masalah merokok adalah isu kesihatan yang perlu dipandang serius oleh semua Ahli Parlimen.

Jelasnya, semua Ahli Parlimen bertanggungjawab melindungi masyarakat daripada ancaman bahaya produk merokok.

Dengan meluluskan RUU Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG juga, tambah beliau, Ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat dapat membuktikan komitmen mereka yang teguh untuk melindungi kesejahteraan rakyat terutama golongan belia.

“Sehubungan itu, kami dengan tegas mendesak kerajaan mengutamakan kesihatan awam dengan memenuhi janji yang telah diberikan kepada rakyat dan membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG dengan segera tanpa berlengah lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya