PETALING JAYA: Tular poster anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamad Abduh sebagai calon Menteri Besar Kelantan mewakili Kerajaan Perpaduan menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ia selepas gambar pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Nik Mohamad Abduh dan abangnya, Nik Omar tular semalam.
Selain itu, nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu yang digugurkan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) turut menguatkan spekulasi tersebut menuju persiapan PRN.
Dalam poster itu, tertera tulisan ‘Nik Abduh Nik Aziz calon Menteri Besar Kelantan’ dan ‘Kelantan Membangun Bersama Perpaduan’ selain terdapat logo Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).
Terdahulu, gambar Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan dua anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz itu dalam media sosial sekali gus menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen.
Terdapat dalam kalangan netizen menyifatkan Anwar berjaya menyatukan kembali Nik Mohamad Abduh dan Nik Omar.
Ia susulan kedua-dua anak bekas Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini dilihat tidak ‘sehaluan’ selepas mereka memilih fahaman politik bertentangan.
Nik Mohamad Abduh ketika ini bersama Pas manakala Nik Omar memilih menyertai Parti Amanah. – UTUSAN