Tiada niat tuai kecaman - Nadeera - Utusan Malaysia

Tiada niat tuai kecaman – Nadeera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENANG tersenyum tatkala satu demi satu soalan dilontarkan, penyanyi, Nadeera seperti dapat meneka gelombang kritikan dan kecaman yang riuh berkicauan di media sosial.

Semuanya gara-gara penampilannya yang dikatakan tidak sesuai ketika menyampaikan lagu Rahmatun Lil’Alameen (nyanyian asal Maher Zain) di pentas minggu ketiga Big Stage 3 kelmarin.

“Saya tahu ramai yang kecam. Saya juga sedar diri masih belum berhijab. Kalau saya tutup terus nanti orang kata saya sudah bertudung pula. Minggu depan tampil tanpa hijab, orang mengata lain.

“Bukan niat saya untuk menuai kecaman segelintir warganet. Bukan juga tujuan saya mempersenda Rasullullah. Itu sudah keterlaluan bagi saya. Saya cuba sebaik mungkin untuk memberi persembahan yang terbaik.

“Tetapi saya tidak salahkan mereka yang mengkritik dan mengecam. Masing-masing ada hak untuk melontarkan pandangan. Saya terbuka dan menerima teguran tersebut. Saya akan lebih berhati-hati,” ujarnya.

Ditanya soal pemilihan lagu, penyanyi berusia 30 tahun itu mahu menyampaikan makna cinta yang berbeza seiring dengan tema kasih sayang pada minggu ketiga program realiti tersebut.

Baginya, cinta itu tidak semata-mata tentang hubungan di antara manusia sebaliknya cinta terhadap Rasulullah juga merupakan kasih sayang teragung yang seharusnya ada dalam setiap sanubari.

“Dari dulu sebenarnya saya berhasrat untuk membawakan seleksi lagu berbeza jika bertanding. Bila dapat tema cinta, saya fikir apa kata untuk sampaikan maksud dengan cara berbeza.

“Lagi pula, ini adalah satu pertandingan. Saya perlu mewarnakan lagu tersebut mengikut interpretasi sendiri. Alhamdulillah, saya sudah buat yang terbaik dan menerima komen positif.

“Tetapi saya tahu tidak boleh terlalu selesa, perlu sentiasa beri yang lebih baik setiap minggu. Saya tidak boleh kecewakan peminat dan diri sendiri. Itu adalah niat saya,” kongsinya.

MULA KUMPUL PEMINAT

Bercakap tentang saingan Big Stage 3, penyanyi lagu Hasrat Hati itu meletakkan Waode dan Putera Muhammad sebagai antara peserta yang boleh merebut gelaran juara program realiti tersebut.

“Tidak dinafikan, setiap peserta mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing. Apatah lagi, pertandingan ini tidak hanya diukur berdasarkan vokal semata-mata tetapi turut melibatkan kreativiti peserta.

“Ditambah pula dengan semangat juang setiap peserta, jalan saya kali ini ada cabaran dan onak durinya. Tetapi saya tidak boleh beralah dan perlu sentiasa memberi sesuatu di luar kotak.

“Waode dan Putera Muhammad antara dua peserta yang saya lihat boleh bergelar juara. Namun persaingan itu tetap ada daripada para peserta lain,” ujarnya yang pernah menyertai Mentor Legend dan Vokal Bukan Sekadar Rupa.

Pernah meluahkan hasrat untuk lebih dikenali, Nadeera kini mula meniti jambatan ke lembah populariti terutama selepas persembahannya di pentas Big Stage 5 semakin meraih perhatian.

“Memang niat saya nak masuk pertandingan ini untuk popular. Saya mahu dikenali. Menang atau tidak itu bonus. Saya mahu kumpul peminat.

“Sekarang bila berjalan keluar, orang sudah mula kenal dan menegur. Seronok bila bakat kita mula dihargai dan diterima,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN