PETALING JAYA: Seorang lelaki terpaksa berputih mata apabila kerugian hampir RM58,800 ditipu dalam pelaburan Bitfine.
Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah Sentul menerima laporan polis daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun berkaitan penipuan tersebut pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pengadu telah berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi Telegram pada 17 Mac lalu namun tidak melayan suspek.
Katanya, bagaimanapun, mangsa mula berkomunikasi dengan suspek dan berminat dengan pelaburan yang ditawarkan iaitu Bitfine.
“Pengadu telah menerima pulangan sebanyak RM543 sehingga dia yakin dengan pelaburan tersebut.
“Hasil siasatan mendapati mangsa membuat pembayaran secara berperingkat sejak 27 April sehingga 8 Mei sebanyak lapan kali transaksi ke lima jenis akaun bank yang berbeza berjumlah RM58,800,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa telah terpedaya.
“Sebarang pertanyaan berkaitan, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997. Sebagai langkah pencegahan orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi membuat semakan akaun yang terlibat dalam sebarang kes penipuan.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigakan melibatkan sindiket seperti ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222,” katanya. – UTUSAN