MEKAH: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya memuat turun aplikasi Nusuk bagi membolehkan mereka mendapatkan giliran memasuki Raudah di Masjid Nabawi dan melakukan tawaf.
Aplikasi tersebut boleh didapati di Google Play untuk pengguna telefon pintar Android dan Apple Store untuk iPhone yang hanya memerlukan beberapa minit untuk dikemas kini dengan memasukkan data pengenalan diri seperti nama, nombor visa dan pasport.
Aplikasi itu penting kerana pihak berkuasa Arab Saudi tidak akan membenarkan jemaah memasuki Raudah sekiranya gagal mempamerkan kebenaran yang telah dimohon melalui Nusuk.
Selepas memuat turun, jemaah dikehendaki memasukkan maklumat peribadi seperti nama, visa dan nombor pasport dan masa yang dikehendaki untuk memasuki Raudah.
Jemaah dinasihatkan supaya mematuhi tempoh masa yang telah dipohon bagi mengelakkan sebarang kesulitan seperti dihalang atau berada dalam tempoh yang kurang daripada sepatutnya.
Nusuk yang dilancarkan pada 18 November 2022 lalu menggantikan aplikasi Eatmarna mengandungi lima bahasa iaitu Arab, Inggeris, Rusia, Melayu dan Indonesia.
Platform elektronik mesra pengguna itu menawarkan lebih 120 perkhidmatan berkaitan urusan umrah, haji, ziarah dan percutian termasuk isu visa, penerbangan dan penginapan. – UTUSAN










