Tajuddin yakin terima khabar positif rayuan penggantungannya - Utusan Malaysia

Tajuddin yakin terima khabar positif rayuan penggantungannya

TAJUDDIN Abdul Rahman dalam sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah di Pasir Salak hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yakin akan menerima khabar positif berhubung rayuan penggantungannya sebagai ahli UMNO.

Menurut Tajudin, beliau meletakkan harapan agar penggantungan keahliannya selama enam tahun itu ditarik balik apabila ia dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk dibincangkan.

“Dalam isu ini, saya kalau boleh mahu ia diselesaikan secara baik kerana saya sayangkan UMNO. Saya sudah jelaskan, UMNO banyak jasa, jadi kita mahu balas jasa dan berkhidmat atas tiket UMNO.

“Jadi kalau dilepaskan penggantungan, saya boleh jadi ahli parti yang aktif dan menyumbang apa yang mampu kepada parti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di kediamannya di Kampung Gajah di sini hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, beliau telah mengemukakan tiga rayuan berkaitan penggantungannya itu dengan surat rayuan terakhir dihantar semalam.

Tajudin memberitahu, sehingga kini, beliau juga tidak pernah dipanggil oleh jawatankuasa disiplin parti atau menerima pertuduhan yang membawa kepada penggantungan keahliannya.

“Saya tidak buat salah apa, sebagai Pengarah Pilihan Raya parti saya tiada salah begitu juga sebagai MKT. Salah saya kalau ada pun kerana bersuara lantang untuk isu-isu berkepentingan parti.

“Mungkin Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terasa hati dengan kenyataan-kenyataan itu, jadi saya minta maaf. Sebagai manusia, ada masanya kita terlanjur kata.

“Saya mahu buka buku baharu sama ada melibatkan hubungan saya dengan presiden dan sebagai ahli parti. Itu pendirian saya,” katanya.

Dalam pada itu mengulas kesediaannya untuk membantu Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihanraya Negeri (PRN) di enam buah negeri, beliau menegaskan sedia turun berkempen sekiranya keahlian beliau dikembalikan.

“Saya sudah hulur tangan persahabatan, yang sudah tu sudahlah. Saya harap mereka dapat menerima huluran tangan persahabatan demi parti.

“Bagaimanapun, saya bersedia untuk hadapi kemungkinan sama ada terima atau tidak terima. Saya tidak akan putus asa dengan perjuangan,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, rayuan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu akan dibawa ke MT UMNO untuk dibincangkan.

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan rayuan itu akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya