Tabung Haji siap siaga sambut jemaah di Mekah

Tabung Haji siap siaga sambut jemaah di Mekah

MOHD. Sawal Abong (tengah) mendengar penerangan yang diberikan oleh Pengurus Maktab 78, Mohd. Shafiq Shawal (kiri), dan Pengurus Maktab 77, Mohd. Ridzuan Wahi mengenai kesiapsiagaan operasi TH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Daripada MOHD. TURMADZI MADUN
Melaporkan dari Mekah

MEKAH: Kesiapsiagaan Tabung Haji (TH) berada pada tahap maksimum untuk menerima kedatangan jemaah Malaysia yang akan masuk secara berperingkat mulai esok ke sini bagi mengerjakan umrah sebelum operasi masyair pada hujung Jun ini.

Pengarah Operasi Maktab, Mohd. Sawal Abong berkata, dua kumpulan iaitu KT01 dan 02 melibatkan 565 jemaah dijangka tiba pada pukul 3 petang dengan memakai ihram untuk melakukan umrah wajib sebaik menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

MOHD. Sawal Abong memberi penerangan carta petugas TH di Tanah Suci. 

Katanya, jemaah akan disambut oleh pihak pengurusan maktab sebelum dibawa ke bilik masing-masing yang turut disediakan makanan untuk jamuan kali pertama.

“Operasi sebanyak sembilan maktab melibatkan 12 buah bangunan hotel telah berada pada tahap maksimum dalam operasi haji tahun ini. Jarak kesemua maktab tidak lebih dari satu kilometer dari Masjidilharam.

“Kumpulan pertama akan tinggal di dua buah maktab di Abraj Janadriah di sini. Mereka akan dibiarkan rehat seketika sebelum dibawa menunaikan umrah dengan panduan daripada 12 Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) pada pukul 9 malam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Mohd. Sawal, bagasi jemaah terlebih dahulu tiba hari ini bagi memudahkan pergerakan mereka pada keesokan harinya.

Tambahnya, setiap bangunan akan mempunyai klinik perubatan, kafe, Pejabat Pos, pejabat operasi, perkhidmatan talian telefon iTalk dan bimbingan kesihatan.

“Kita telah menyusun program sepanjang mereka berada di sini seperti ziarah luar di Jabal Nur, Jabal Rahmah, lokasi masyair di Arafah, Mina dan Muzdalifah, muzium serta lain-lain. Jemaah akan makan dua kali sehari iaitu tengah hari dan malam,” katanya.

Ujar Mohd. Sawal, bagi memudahkan urusan, pejabat operasi akan menyimpan pasport jemaah sekiranya mereka ingin menukar jadual penerbangan pulang.

“Menjelang operasi masyair, kita akan menerima kemasukan 1,200 jemaah sehari. Sehubungan itu, TH telah menyediakan segala keperluan termasuk khidmat menyelesaikan persoalan menerusi e-Taib yang mana jawapan mereka akan dijawab serta merta,” katanya.

Menurut Mohd. Sawal, jemaah lelaki dan wanita akan ditempatkan dalam maktab yang sama cuma duduk berasingan dalam bilik.

“Bagi pasangan suami isteri, mereka akan dipisahkan juga tetapi tidak jauh dari bilik masing-masing,” katanya.

Penginapan di Abraj Janadriah mempunyai dua buah maktab yang mana setiap satunya menempatkan 3,000 jemaah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya