KUANTAN: Trend semua penyelenggaraan jalan diserahkan kepada syarikat konsesi hampir di semua negeri menutup ‘periuk nasi’ kontraktor kecil yang tidak berpeluang mendapat projek.
Difahamkan sejak dasar tersebut diguna pakai, setiap negeri ada antara tiga hingga lima syarikat konsesi membolot projek penyelenggaraan jalan termasuk jalan-jalan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jalan-jalan kampung.
Situasi tersebut menyebabkan semakin hari semakin ramai kontraktor kecil gulung tikar kerana bukan sahaja tidak mendapat projek tetapi diburukkan lagi apabila kerajaan terus membuka lesen baharu kepada kontraktor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, dasar kebelangkang ini seperti setiap projek ‘wajib’ diserahkan kepada syarikat konsesi tidak adil kerana ia menutup peluang kontraktor kecil.
Menurut beliau, ini kerana projek yang dianugerahkan kepada syarikat konsesi tidak hanya akan memilih kontraktor kroni dan bagi kontraktor kroni ia akan masalah tidak mendapat projek.
Menurut beliau, jika dahulu hanya projek penyelenggaraan jalan Persekutuan diberi kepada syarikat konsesi namun kini semua syarikat konsesi sedang membolot penyelenggaraan jalan negeri kemudian dituruti jalan kampung dan terkini projek jalan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) juga turut dikonsesikan.
“Trend tersebut menyebabkan setiap negeri seluruh negara, terdapat antara tiga ke lima syarikat konsesi yang mengendalikan projek penyelenggaraan jalan.
“Syarikat konsesi seperti Roadcare (M) Sdn. Bhd. (Roadcare) melakukan undian projek-projek penyelenggaraan jalan untuk diserahkan kepada kontraktor sedangkan syarikat konsesi lain majoritinya didakwa mengutamakan kroni serta pihak berkepentingan,” kata beliau.
Menurut beliau, situasi tersebut menimbulkan keresahan dalam kalangan kontraktor khususnya kontraktor kecil yang bergantung sepenuhnya kepada projek-projek kecil untuk kelangsungan hidup.
Di setiap negeri seluruh negara, terdapat antara tiga ke lima syarikat konsesi yang mengendalikan projek penyelenggaraan jalan. Roadcare membabitkan lima negeri, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Selangor.
Mengulas lanjut, Abd. Gapar Lambak berkata, dahulu hanya projek jalan Persekutuan dikonsesikan dan golongan kontraktor kecil tidak begitu terkesan dengan pelaksanaannya.
“Apa yang menjadi masalah ketika ini adalah, satu persatu projek penyelenggaraan jalan dikonsesikan. Jadi, tertutup peluang kontraktor kecil kerana projek konsesi hanya ‘dibolot’ oleh golongan tertentu sahaja.
“Ini yang menjadi isu, sudahlah projek yang sepatutnya untuk kontraktor kecil dikonsesikan dan ramai kontraktor kecil tidak mendapat projek, kalau dapat projek pun, harga tidak sama dengan dapat secara terus melalui jabatan sebab keuntungan yang diambil oleh syarikat konsesi.
“Itu tak apalah, asalkan dapat projek untung sikit pun tiada masalah kerana kami tahu kerajaan dapat melakukan banyak penjimatan dalam hal ini . Undian hanya Roadcare sahaja yang buat, syarikat konsesi lain kurang mesra kontraktor kecil,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion dilaporkan berkata, syarikat konsesi di negara ini bertindak mengawal projek kerajaan dan ‘bermain harga’ sekali gus meraih untung besar.
Dalam dakwaan itu, Tukiman turut merayu kepada kerajaan agar menghentikan agihan projek kepada syarikat konsesi sebaliknya disalurkan kepada kontraktor melalui undian atau cabutan.
Susulan dakwaan itu, Pengurus Besar Operasi Roadcare, Nikifli Nurizan Nik Saad menafikan syarikat konsesi itu mengawal projek kerajaan bagi mengaut untung atas angin sehingga ramai kontraktor gulung tikar.
Mengulas lanjut, Abd. Gapar berkata, isu yang sering menjadi pertikaian adalah perkara-perkara yang berkaitan pengagihan projek yang tidak melata dan saksama, harga yang tidak relevan dan kompetitif serta kelewatan bayaran.
Jelasnya, isu-isu ini harus ditangani dan diselesaikan dengan segera agar dasar ini bukan hanya menguntungkan kerajaan dan pihak konsesi malah kepentingan kontraktor kecil turut terjaga serta terbela.
“Projek-projek konsesi harus diagihkan dengan seadil-adilnya, hentikan campur tangan dari pihak yang mempunyai kepentingan peribadi dalam pengagihan projek penyelenggaran jalan.
“Seharusnya projek-projek ini perlu disalurkan terus kepada ahli-ahli yang berpersatuan. Kaedah pengagihan projek melalui cabutan undi perlu dipertingkatkan dan diutamakan.
“Harga projek-projek yang ditawarkan perlu relevan dengan harga semasa bahan-bahan bahan binaan tersebut, dan keuntungan yang diambil oleh syarikat konsesi perlu lebih sesuai dan berpatutan,” katanya.
Abd. Gapar yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, perkara lain yang perlu juga diambil kira antaranya, segala bayaran mesti dijelaskan dalam tempoh 60 hari dan wang tahanan dijelaskan apabila sampai tempohnya wajar dititikberatkan.
“Apa dilaksanakan Roadcare perlu dicontohi oleh syarikat konsesi lain di negara ini. Roadcare lebih mesra kontraktor dengan sering melaksanakan pengagihan projek-projek melalui kaedah cabutan undi kepada kontraktor bumiputera G1 hingga G4 yang mana semua kontraktor berpeluang untuk turut serta termasuklah ahli-ahli persatuan.
“Syarikat ini juga mempunyai rekod bayaran yang baik dan menepati masa serta menyediakan wang pendahuluan 50 peratus,” katanya.
Justeru itu katanya, PKMM berharap agar kaedah yang mesra kontraktor ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan dengan penambahbaikkan dari masa ke semasa dan ia dicontohi oleh syarikat konsesi lain.
“Kami juga berharap agar semua syarikat konsesi lebih telus dalam pengagihan, penawaran dan pelaksanaan projek penyelengaraan jalan ini supaya kontraktor kecil dapat dilibatkan dalam projek-projek dari konsesi secara lebih menyeluruh pada masa-masa akan datang,” katanya. – UTUSAN











