STL 2023: Lemon, Azlan perkukuh Penang Black Panthers - Utusan Malaysia

STL 2023: Lemon, Azlan perkukuh Penang Black Panthers

AHMAD Ismail (kiri) menyerahkan jersi terbaharu kepada pemain Penang Black Panthers, Aekasit Naphom pada Majlis Pelancaran Pasukan Sepak Takraw Penang Black Panthers serta upacara menandatangani perjanjian-perjanjian penajaan untuk kejohanan Emas Anuar STL 2023, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang emalam. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Tidak disandarkan harapan ‘menggunung’ menjelang kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2023 bermula hujung bulan ini, Penang Black Panthers bagaimanapun dijangka masih mampu memberikan ancaman ‘besar’ kepada pasukan lain dalam saingan itu.

Mengekalkan khidmat perejam import dari Thailand, Aekasit Naphom, skuad Harimau Kumbang itu turut membawa masuk seorang lagi pemain import baharu, Ronnapee Na Nongkhai atau Lemon dari Kelab Sepak Takraw Tentera Laut Thailand yang akan beraksi sebagai tekong.

Lebih menggembirakan, perejam negara, Mohamad Azlan Alias yang pernah beraksi untuk Penang Black Panthers sebelum berhijrah ke pasukan KL Thunder, kini turut kembali memperkuatkan pasukan.

Penolong jurulatih Penang Black Panthers, Ahmad Sufian Napiah berkata, di sebalik perkembangan positif itu, pasukannya masih berdepan beberapa kekangan untuk membentuk pasukan lebih mantap musim ini khususnya dalam membina keserasian dan persefahaman antara pemain.

“Pemain import kita baru sahaja sampai ke Malaysia hari ini (kelmarin) kerana tidak mendapat pelepasan awal daripada majikannya dan empat pemain kita juga berada dalam skuad negara sekali gus menyukarkan mereka menjalani latihan bersama pasukan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Sepak Takraw Penang Black Panthers serta upacara menandatangani perjanjian-perjanjian penajaan untuk kejohanan Emas Anuar STL 2023, di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (Pesenang), Datuk Seri Ahmad Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Emas Anuar Sdn. Bhd., Khurulanuar Mhamad Noor serta Naib Presiden Bahagian Sukan Astro, Nicolas Andrew John.

Sebanyak RM600,000 diperuntukkan di bawah perjanjian penajaan atau Title Sponsor-STL 2022/23 untuk kejohanan STL kali ini dan syarikat Perniagaan Emas Anuar turut menyerahkan tajaan sebanyak RM250,000 kepada pasukan Penang Black Panthers untuk kejohanan berkenaan.

 

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, agak sukar bagi Penang Black Panthers meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan kali ini memandangkan sehingga kini, latihan berpusat secara intensif atau sepenuh masih tidak dapat dilakukan.

“Saya difahamkan, ada pasukan yang telah berlatih berbulan-bulan dan banyak juga (pasukan) yang membawa pemain import kali ini.

“Kita kena terima hakikat iaitu selepas sembilan tahun (kejohanan STL dilangsungkan), pemain-pemain semakin baik, kemahiran mereka semakin meningkat dan semangat mereka juga berbeza apatah lagi dengan hadiah sebanyak RM100,000 iaitu yang terbesar dalam kejohanan sepak takraw dunia.

“Jadi, selepas ‘game’ bermula, baru kita boleh duduk berbincang dengan ‘coach’ untuk letak sasaran yang lebih tepat. Nak letak sasaran ini kena ada asasnya. Kita kena kaji dulu kekuatan sendiri dan kekuatan lawan,” ujar beliau.

Selain Azlan, tiga lagi pemain Penang Black Panthers yang bersama skuad takraw kebangsaan ketika ini ialah Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican; Muhammad Faisal Mohd. Fuad dan Mohammad Zaim Razali manakala seorang lagi pemain iaitu Muhamad Zulhusni Basri baru sahaja kembali menyertai pasukan untuk sesi latihan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya