Status Malaysia masuk fasa endemik bulan depan

Status Malaysia masuk fasa endemik bulan depan

ZALIHA Mustafa bergambar bersama media selepas sesi taklimat kepada media berhubung Kertas Putih Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyemak semula pengisytiharan kawasan tempat jangkitan di Malaysia pada pertengahan Jun ini dengan membuat penilaian risiko jangkitan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu bagi menentukan hala tuju seterusnya memandangkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan di negara ini masih diteruskan sehingga 30 Jun ini.

Beliau berkata, pada masa ini negara masih belum memasuki fasa endemik biarpun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan wabak itu bukan lagi kecemasan kesihatan global.

“Pada masa sekarang kita masih lagi belum masuk ke fasa endemik, tetapi negara kita masih lagi berlaku jangkitan wabak itu khususnya ketika musim perayaan ada peningkatan sedikit walaupun terkawal.

“jangkitan kes walaupun masih berlaku tetapi jumlah kes adalah rendah dan kadar keterukan juga tidak tinggi, bagaimanapun kembimbangan masih ada dan kita masih pantau secara dekat,” katanya ketika sesi taklimat kepada media berhubung Kertas Putih Kesihatan di sini hari ini.

Sementara itu, Zaliha berkata, Kertas Putih Kesihatan dijangka boleh dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi persidangan yang sedang berlangsung sehingga 15 Jun ini.

Beliau memberitahu, bagaimanapun Kertas Putih Kesihatan itu akan terlebih dahulu dibawa ke Kabinet pada minggu depan.

“Kita sedang mendapatkan tarikh sebenar untuk dibentang di Parlimen. Kita memang sudah mendapat persetujuan daripada Setiausaha Parlimen untuk bentang Kertas Putih Kesihatan di sesi Parlimen akan datang pada Jun.

“Apa yang kita bentang ini masih dalam peringkat konsep, tetapi kita sudah ada rangka yang meliputi empat tonggak,” katanya.

Kertas Putih Kesihatan menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bermatlamatkan ke arah satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif agar rakyat kekal sihat dan sejahtera.

Selain itu, menerusi Kertas Putih Kesihatan dicadangkan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan yang bebas dan berkecuali untuk memantau dan memastikan pelaksanaan reformasi kesihatan yang efektif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya