Sasar 700,000 kanak-kanak dapat vaksin pneumokokal

Sasar 700,000 kanak-kanak dapat vaksin pneumokokal

ZALIHA Mustafa menyampaikan sijil vaksinasi kepada penerima ketika Majlis Perasmian Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memperluaskan pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 menerusi inisiatif imunisasi catch-up pneumokokal (CHUP) bermula esok hingga 31 Mei tahun depan.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata inisiatif itu bagi mengoptimumkan perlindungan terhadap penyakit pneumokokal invasif dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

Menurut beliau, berdasarkan data kementerian itu, kadar discaj akibat penyakit pneumokokal invasif di hospital KKM adalah tinggi dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

“Bagi pemberian vaksin itu, ibu bapa boleh bawa anak-anak ke mana-mana fasiliti kita secara ‘walk in’.

“Selain itu, ada juga janji temu melalui MySejahtera. Jadi mereka (ibu bapa) boleh pergi ke aplikasi MySejahtera untuk buat tempahan bagi mendapatkan vaskin di semua fasiliti kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 bertemakan ‘Tingkatkan Liputan, Kurangkan Keciciran’ di sini hari ini.

Zaliha berkta, KKM menyasarkan seramai 700,000 daripada sejuta kanak-kanak yang berusia empat dan lima tahun untuk menerima suntikan vaksin pneumokokal menerusi inisiatif itu atau sekurang-kurangnya mencapai 70 peratus daripada sasaran tersebut.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Zaliha berkata, KKM sudah melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal dalam Program Imunisasi Kebangsaan kepada kanak-kanak yang lahir bermula 1 Januari 2020, dan kanak-kanak berkenaan kini sudah mencapai usia tiga tahun.

Katanya, vaksin pneumokokal diberikan untuk mencegah penyakit disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

“Antara penyakit yang disebabkan bakteria ini adalah radang paru-paru (pneumonia), radang sinus, jangkitan telinga tengah, radang selaput mata dan sarah tunjang serta jangkitan dalam bakteria dalam darah,” katanya.

Katanya, program imunisasi yang dijalankan di peringkat global menunjukkan penurunan kadar kematian bagi kanak-kanak bawah lima tahun di seluruh dunia.

Jelas beliau, penurunan itu membabitkan 150 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1950-an kepada 38 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 2021.

“Bagi negara ini, penurunan kadar kematian bagi kanak-kanak bawah lima tahun daripada 158 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun 1950 kepada 7.4 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada 2021,” katanya.

“Pencapaian liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak adalah tinggi di peringkat kebangsaan dan mencapai sasaran yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melebihi 95 peratus bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya