Sanusi didakwa bankrap idea

Sanusi didakwa bankrap idea

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa sudah bankrap idea dan ketandusan modal politik dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila membuat kenyataan kononnya tiada sempadan antara negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, dakwaan Muhammad Sanusi bahawa sempadan itu tidak wujud kerana Pulau Pinang milik Kedah hanyalah satu bentuk publisiti politik murahan demi kepentingan peribadinya.

Katanya, kenyataan sedemikian bukan sekadar menampakkan Muhammad Sanusi tidak merujuk Perlembagaan, malah beliau juga tidak mengiktiraf kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia.

“Kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat diperkukuh dengan berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan pada 1957. Perkara tersebut dihuraikan secara khusus dalam Fasal 2, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan berhubung status perundangan negeri-negeri yang bernaung di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai Menteri Besar, beliau harus memahami Perlembagaan Persekutuan dan menghormati pengiktirafan terhadap negeri jiran tersebut, biarpun pentadbiran negeri itu berbeza ideologi politik dengannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kelmarin, Muhammad Sanusi mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan tidak ada sempadan yang memisahkan kedua-duanya selain tidak ada apa-apa yang terlepas selama ini dari Kedah kerana Pulau Pinang sememangnya menjadi hak negeri Jelapang Padi tersebut.

Tambah Shaiful Hazizy, Muhammad Sanusi mungkin cuba menyembunyikan kelemahan pentadbiran beliau yang tidak memberi apa-apa sumbangan dalam agenda pembangunan negeri.

Selain itu katanya, prestasi Muhammad Sanusi juga dihantui pelbagai masalah yang gagal diselesaikan hingga menyebabkannya sengaja mengalih perhatian rakyat Kedah dengan mencetuskan kontroversi melalui kenyataan berunsur semangat kenegerian.

“Walhal beliau sebenarnya miskin idea dan hanya meneruskan saja dasar-dasar kerajaan terdahulu. Misalnya Muhammad Sanusi mendakwa dirinya berjaya menarik pelabur sedangkan beliau hanya menuai segala misi pelaburan dirintis dan diusahakan kerajaan negeri terdahulu.

“Malah projek-projek mega yang sedang diteruskan di Kedah ini juga usaha kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini. Bagi saya, Muhammad Sanusi hanya popular sebagai Menteri Besar bermulut lantang sedangkan prestasinya mentadbir tidak teruji kerana diselamatkan perancangan kerajaan terdahulu yang bersifat jangka panjang seperti lima projek rawatan air (LRA), Bandar Raya Getah (KRC), Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP) dan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ),” katanya.

Sementara itu, Shaiful Hazizy turut mempersoal tindakan seterusnya yang akan diambil Muhammad Sanusi selepas ini sama ada mahu menuntut semula Pulau Pinang yang mana langkah itu bakal mengundang malapetaka Perlembagaan yang sangat besar serta tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

“Harap-harap rakyat boleh menilai dan membezakan antara tindakan pemimpin sarkas politik dengan pemimpin yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN