KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Sanisah Huri, 71, kecewa kerana tidak menerima sebarang bayaran royalti daripada lagu-lagunya yang terus diputar atau disiarkan di radio dan televisyen tempatan.
Kata penyanyi yang popular dengan lagu hari raya, Aidilfitri itu, kekecewaan tersebut lama dipendam dan pernah disuarakan namun tiada pihak yang tampil membantunya menyelesaikan masalah berkenaan.
“Lagu-lagu saya sering diputarkan di radio dan disiarkan di televisyen tetapi orang tak tahu yang saya tidak terima hasil atau royaltinya.
“Saya tidak tahu kepada siapa saya mahu adukan perkara ini. Saya pernah suarakannya dahulu, tetapi tiada respons yang saya terima.
“Dahulu, ketika bernaung di bawah EMI Music Malaysia, saya terima royalti setiap tahun tetapi syarikat tersebut sudah dibubarkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas konsert Raya Sepanjang Zaman di Dewan Filharmonik Petronas di sini.
Isu royalti menjadi masalah yang dihadapi ramai penggiat seni tanah air antaranya, komposer dan penulis lirik, S. Atan yang pada tahun lalu meluahkan rasa kecewa dengan segelintir stesen televisyen dan yang tidak melunaskan bayaran royalti selepas menyiarkan dan memutarkan lagu-lagu ciptaannya, termasuk lagu hari raya di platform mereka.
Perkara itu membuat komposer terkenal itu kesal sekali gus tidak membenarkan stesen-stesen radio dan TV berkaitan menyiarkan atau memutarkan lagu-lagu tersebut.
Sementara itu, Sanisah yang juga popular menerusi lagu Sejak Ku Bertemu Padamu juga kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang tanpa kebenaran memuat naik lagu-lagu nyanyiannya dalam media sosial.
“Mereka mengaut untung dengan cara itu sedangkan saya tidak terima apa-apa,” luahnya. – UTUSAN











