Sambutan Minggu Perpaduan 21 Mei ini - Utusan Malaysia

Sambutan Minggu Perpaduan 21 Mei ini

AARON Ago Dagang (duduk, kiri) bersama Mohd. Shukri Ramli (duduk, dua dari kiri) merakamkan gambar bersama selepas mengadakan pertemuan di Komplek Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Perpaduan Negara bakal menganjurkan sambutan Minggu Perpaduan Negara secara serentak di seluruh negara bermula  21 Mei depan.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pelancaran sambutan itu bagi peringkat kebangsaan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis berlangsung di Kuching Waterfront, Sarawak.

Beliau berkata, terdapat pelbagai pengisian menarik telah diatur sepanjang pelaksanaan sambutan berkenaan malah aktiviti-aktiviti yang dianjurkan juga lebih menjurus kepada perpaduan antara kaum, agama dan budaya.

“Penganjuran Minggu Perpaduan ini juga adalah seiring dengan pelaksanaan Program Kembara Perpaduan Malaysia Madani,” katanya selepas melakukan kunjungan rasmi ke Pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aaron berkata, sambutan Minggu Perpaduan Negara itu juga akan berlangsung di setiap negeri bagi menyemarakkan lagi penganjurannya dalam kalangan rakyat.

Malah, beliau berkata, pihak kementerian juga berharap agar sambutan itu dapat dilaksanakan secara tahunan dengan membabitkan penganjuran perasmian peringkat kebangsaan di negeri-negeri lain selepas ini.

“Kementerian sememangnya berharap agar sambutan yang dilaksanakan ini dapat memupuk keharmonian masyarakat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran sambutan itu di Perlis, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pelaksanaan program berkenaan bakal berlangsung pada 27-28 Mei depan di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, di sini.

Menurut beliau, sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat negeri itu juga dijangka  disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Seluruh rakyat dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan yang mempunyai pelbagai pengisian menarik khususnya dalam memperkasakan perpaduan di negara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya