Rugi RM70,000 kebun kelapa sawit dimusnah gajah liar

Rugi RM70,000 kebun kelapa sawit dimusnah gajah liar

WAN Jusoh Wan Abdullah menunjukkan sebahagian pokok kelapa sawit yang dimusnahkan sekumpulan gajah di Kampung Seri Bayas, Setiu, semalam. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Enam pengusaha kebun kelapa sawit di Kampung Seri di sini kerugian lebih RM70,000 setelah tanaman mereka dimusnahkan sekumpulan gajah liar sejak awal bulan ini.

Seorang pekebun, Wan Jusoh Wan Abdullah, 72, berkata, kebun sawit itu dijangka dapat dituai kali pertama pada November depan, namun terpaksa berputih mata setelah 115 pokok sawitnya musnah dalam serangan tersebut.

Menurutnya, gajah liar itu dipercayai datang dari hutan berhampiran dan masuk ke dalam kebun sawit milik orang kampung akibat kelaparan.

“Masalah gajah berkeliaran ni sudah lama berlarutan, namun sejak akhir-akhir ini semakin ke­rap berlaku, masuk ke kebun untuk makan umbut kelapa sawit.

“Kami sering bergilir jaga kebun siang malam untuk menghalau gajah, bakar tayar untuk buat api bagi menakutkan haiwan itu namun tetap gagal.

“Kami telah buat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dan berharap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Seorang lagi pemilik kebun, Ahmad Shazril Hisyam Moha­mad, 32, pula berkata, dia menanam sebanyak 780 anak pokok kelapa sawit pada tahun 2020 namun tidak dapat memperolehi hasil sebagaimana yang diharapkan.

Menurutnya, setakat ini, kebunnya telah dimasuki kumpulan gajah itu sebanyak 21 kali dan menyebabkan pokok sawitnya hanya berbaki 200 sahaja ketika ini.

“Namun disebabkan sera­ngan gajah liar ini, semuanya musnah. Kami sangat berharap agar Perhilitan dapat menangkap gajah ini dan memindahkannya ke lokasi lain yang lebih sesuai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah mendapat laporan mengenai serangan gajah liar tersebut dari pemilik kebun kelapa sawit yang terlibat.

Katanya, usaha sedang dijalankan untuk memantau dan menangkap kawanan gajah tersebut seterusnya memindahkan haiwan itu ke habitat asal supaya gangguan tidak lagi berulang pada masa akan datang.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN