RM50 juta naik taraf Institusi Pendidikan MARA-Ahmad Zahid

RM50 juta naik taraf Institusi Pendidikan MARA-Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (empat kanan) bersama Asyraf Wajdi (tiga kanan) menyampaikan sumbangan bencana kepada pelatih Giat MARA di MRSM Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih Institusi Pendidikan MARA (IPMA) pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), RM17 juta kepada Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) manakala, RM8 juta diperuntukkan kepada Kolej MARA (KM) dan Kolej Profesional MARA (KPM).

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan perkara itu semasa lawatan kerja rasmi ke MRSM Kota Kinabalu hari ini.

Beliau yang diiringi Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi sempat meninjau MRSM yang telah berusia 21 tahun dan kini mempunyai 657 orang murid.

Menurut beliau, MARA dan MRSM telah menunjukkan standard pendidikan yang baik dan imej yang berprestij itu harus dipertahankan sebaiknya, termasuk dari segi infrastruktur dan pengisiannya.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) kepada pelajar-pelajar MRSM daripada keluarga B40 serta penyampaian Surat Arahan Pelaksanaan (SAP) Bina Baru Rumah PPRT kepada pelatih Pusat Giat MARA Beaufort yang merupakan mangsa kebakaran.

Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM500,000 kepada Ansara.

Di Sabah, terdapat empat buah MRSM iaitu MRSM Kota Kinabalu, MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens Sandakan, MRSM Tun Datu Mustapha Tawau dan MRSM Semporna.

Beliau turut memaklumkan penukaran nama MRSM Kota Kinabalu kepada MRSM Tan Sri Musa Aman, Kota Kinabalu.- utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN