Ringgit jatuh: ‘Durian runtuh’ bagi peniaga Johor Bahru

Ringgit jatuh: ‘Durian runtuh’ bagi peniaga Johor Bahru

MEDAN selera di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru antara lokasi yang menjadi tumpuan warga Singapura untuk berbelanja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kejatuhan nilai ringgit sejak dua minggu lalu turut memberi kesan positif terhadap ekonomi negara, khususnya bagi para peniaga di sekitar bandar raya ini.

Ini kerana rakyat negara jiran, Singapura semakin ramai datang membeli-belah di sini ekoran kuasa beli mereka semakin meningkat.

Seorang pemilik kedai runcit di Pasir Gudang, Muhammad Zaki Supaid, 40, mengakui perniagaannya turut menerima tempias ekoran kejatuhan nilai ringgit, termasuk pelanggan dari Singapura.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Premis saya menjual barangan runcit serta cenderamata, dengan majoriti pelanggan warga asing yang menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dan Singapura. Jadi, apabila mereka berbelanja di sini, tukaran akan dibuat kepada ringgit berdasarkan nilai semasa, sudah tentu mereka dapat berbelanja lebih.

“Dalam masa sama, peniaga tempatan juga terima manfaat kerana kuasa membeli mereka (pemilik mata wang asing) semakin besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Perkara sama diakui pengusaha Restoran Nasi Lemak Ondeng Basmati di Taman Molek, Md. Fauzi Suradi, 49, apabila kejatuhan nilai ringgit telah merancakkan lagi perniagaannya.

“Disebabkan kadar pertukaran mata wang asing yang menguntungkan, pelanggan khususnya warga Singapura tidak ‘berkira’ untuk menikmati makanan di sini.

“Mereka lihat wang bukan lagi masalah, terutamanya dalam bab makan dan boleh dikatakan mereka anggap Johor Bahru sebagai ‘syurga makanan’. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil lebih ramai orang Singapura berbelanja di sini,” katanya.

Pengusaha Restoran LC Catering, Zaini Atan, 63, turut mengakui kejatuhan nilai ringgit banyak memberi kelebihan kepada para peniaga berbanding golongan pengguna.

“Ada dua faktor yang mempengaruhi orang Singapura untuk datang ke Johor Bahru. Yang pertama, kadar pertukaran mata wang dan kedua, kelancaran trafik di kedua-dua pintu masuk ke sini.

“Mereka lazimnya tidak kisah berbelanja, apatah lagi dengan nilai mata wang mereka lebih tiga kali ganda daripada duit kita. Johor Bahru pula destinasi paling dekat dengan pelbagai destinasi untuk berbelanja, bukan sahaja makanan, malah juga lain-lain, apa yang tiada di sini,” katanya sambil mengakui kira-kira 40 peratus daripada pelanggannya adalah warga Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini