PETALING JAYA: Punca kebakaran di bilik pencawang di dalam pusat beli-belah Mid Valley masih dalam siasatan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, M. Fatta M. Amin berkata, kebakaran melibatkan pencawang masuk utama ke bilik transformer di bangunan Mid Valley berkeluasan 1,600 kaki persegi terbakar 70 peratus.
Kata beliau, kebakaran melibatkan minyak transformer sebanyak 12,400 liter dan ‘flash point’ lebih kurang 137 darjah Celsius.
Jelasnya, minyak tersebut berfungsi untuk menyejukkan transformer.
“Anggota melakukan pemadaman menggunakan kaedah offensive dan defensive bagi menyelamatkan tiga lagi transformer.
“Tindakan pantas anggota berjaya mengawal kebakaran daripada merebak. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 12.07 tengah hari dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.44 tengah hari,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, empat anggota juga telah memeriksa ke tingkat atas bangunan bagi mengenalpasti sisa-sisa bagi mengelakkan kebakaran berlaku semula.
“Tiada mangsa yang terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, M. Fatta berkata, pihaknya telah menasihati pihak syarikat bekalan elektrik terbabit untuk tidak beroperasi dahulu buat sementara waktu.
“Saya difahamkan daripada pihak syarikat bekalan elektrik terbabit, pencawang masuk utama terdiri daripada empat stesen ini membekalkan kuasa kepada radius 10 kilometer.
“Kemungkinan bangunan lain yang terlibat, bekalan elektrik mereka juga turut terjejas. Walaupun berlaku di bangunan berasingan, namun mustahil untuk pihak Mid Valley nak beroperasi tanpa elektrik,” jelasnya. – UTUSAN