PSI: Nelayan, NGO dakwa kemusnahan habitat udang, ekosistem lautan tetap berlaku - Utusan Malaysia

PSI: Nelayan, NGO dakwa kemusnahan habitat udang, ekosistem lautan tetap berlaku

R. MEENAKSHI dan IBRAHIM CHE ROSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kemusnahan kawasan pembiakan udang dan ekosistem laut akan tetap berlaku di kawasan projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) walaupun kerajaan negeri memutuskan mengecilkan skala projek itu menjadi hanya satu pulau berbanding tiga pulau sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara), Ibrahim Che Ros berkata, mata pencarian kira-kira 1,600 ahli PenMutiara juga akan hilang memandangkan lokasi Pulau A yang dicadangkan itu terletak di kawasan pembiakan udang.

”Penambakan Pulau A tetap akan berlaku, malah kawasannya luas iaitu kira-kira satu kilometer daripada Pulau Rimau sehingga berhampiran dengan kawasan yang kita panggil kawasan kapal karam.

”Ahli-ahli kami tetap membantah projek ini kerana akan memusnahkan kawasan pembiakan udang dan hidupan laut yang lain dan sudah pasti menjejaskan kehidupan nelayan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Projek tambak laut PSI kini dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja iaitu pengurangan dari 1,821 hektar (4500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu selari dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini meminta kerajaan negeri mengkaji semula dan memperkecilkan skop tambakan laut bagi projek tersebut.

Menurut Ibrahim, beliau ingin mengingatkan kerajaan negeri walaupun skala projek PSI itu telah dikecilkan, tahap kemusnahan alam sekitar yang berpunca daripada penambakan lautan adalah tetap sama.

”Komuniti nelayan, aktivis alam sekitar dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan himpunan tolak tambak pada Ahad ini bagi menyatakan bantahan kami.

”Kami berharap kerajaan negeri akan membatalkan projek ini, bukannya mengecilkan skop projek,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), R.Meenakshi berkata, tidak ada keperluan untuk kerajaan negeri meneruskan projek PSI kerana pembiayaan untuk melaksanakan projek transit aliran ringan (LRT) telah dijanjikan oleh Kerajaan Pusat.

”Tidak ada justifikasi untuk kerajaan negeri meneruskan projek ini kerana Pulau Pinang mempunyai tanah seluas 12,000 hektar di Seberang Perai, malah perkara ini turut diakui sendiri oleh Ketua Menteri, jadi kerajaan negeri perlu membatalkan projek ini, bukan mengecilkan skalanya,” katanya.

Tambah beliau, pengecilan Pulau A atau `Silicon Island’ daripada seluas 1,821 hektar kepada 930 hektar masih dikategorikan sebagai satu projek penambakan berskala besar.

Selain itu, jelasnya, ia akan melibatkan jumlah pasir yang besar untuk penambakan dari perairan Pulau Pinang atau Perak dan akan menyebabkan lebih banyak kerosakan berlaku sekali gus menjejaskan nelayan di negeri ini serta negeri jiran seperti Perak dan Kedah.

”Tidak tepat untuk kerajaan negeri menyatakan hanya sebilangan kecil nelayan sahaja terjejas kerana projek ini berkaitan dengan kemusnahan dataran lumpur dan kawasan terumbu karang yang menjejaskan habitat marin serta penghijrahan udang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya