Proklamasi Orang Melayu tidak sesuai di Sarawak – Pesuruhjaya Pas Sarawak - Utusan Malaysia

Proklamasi Orang Melayu tidak sesuai di Sarawak – Pesuruhjaya Pas Sarawak

JOFRI Jaraiee (lima dari kanan) bersama ahli Pas Sarawak pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pas Sarawak, di Pejabat Pas Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Proklamasi Orang Melayu yang ditandatangani Presiden Pas di Semenanjung tidak terpakai di negeri ini, kata Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee.

Jelasnya, Pas Sarawak sentiasa mengikut tatacara yang ada di negeri dan apa yang dipersetujui di Semenanjung tidak ada campur tangan bersama Pas negeri.

“Tiada masalah di peringkat negeri kerana kenyataan (sokongan) Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) itu cuma diguna pakai di Semenanjung.

“Di Sarawak kita terbuka, kita bukan menentang tetapi sesuai dengan keadaan di negeri ini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pas Sarawak, di Pejabat Pas Sarawak di sini hari ini.

Proklamasi Orang Melayu tersebut merupakan satu dokumen perjanjian membincangkan mengenai permasalahan, perjuangan dan masa depan orang Melayu.

Terdahulu Abdul Hadi bersama beberapa pemimpin parti itu mengadakan pertemuan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan sokongan serta menandatangani Proklamasi Orang Melayu.

Bagaimanapun jelas Jofri, Proklamasi Orang Melayu di Semenanjung, bertujuan untuk menyatukan orang Melayu.

“Berkenaan dengan Proklamasi Orang Melayu, sekarang negara kita nampak banyak parti politik, jadi banyak perpecahan. Kita perlu menyatukan orang Melayu supaya kita kembali hidup dengan aman.

“Walaupun motifnya untuk menyatupadukan orang Melayu, ia tidak bermakna kita tidak mengambil berat tentang kaum lain, kerana kaum lain juga rakyat Malaysia, jadi tidak ada isu di sini (di Semenanjung).

“Ia berbeza di Sarawak, kerana kita semua boleh hidup aman dengan pelbagai kaum dan agama, Sarawak sangat bersatu, dan tidak memerlukan proklamasi itu,” tegasnya.

Sementara itu, Jofri menjelaskan Pas terbuka kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama.

“Ada sesetengah pihak yang suka menghasut Pas untuk orang Islam sahaja, tetapi sebenarnya ia tidak betul.

“Pas bukan parti Semenanjung tetapi parti untuk semua. Sama seperti kami yang berasal dari Sarawak, ada yang dari Miri, Limbang, Kuching dan Saribas serta bahagian-bahagian lain,” katanya.

Malah, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mendedahkan pembabitan parti Perikatan Nasional (PN) juga tidak akan memecahbelahkan mana-mana pihak.

“Sudah tentu proklamasi ini akan menyentuh perihal politik orang Melayu dan kedudukan mereka di negara ini.

“Justeru setiap individu Melayu berhak mengambil bahagian dalam membicarakan perihal bangsa sendiri tanpa menyentuh perihal bangsa lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya