Polis Evo 3: Magis persahabatan Zizan, Sam

Polis Evo 3: Magis persahabatan Zizan, Sam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Zizan Razak dan Shaheizy Sam diperkenalkan sebagai teraju utama dalam Polis Evo, ramai meramalkan filem tersebut bakal ‘meletop’ di pawagam.

Perkara itu berjaya dibuktikan menerusi rekod kutipan Polis Evo pertama dan kedua yang masing-masing mengutip RM18 juta dan RM23 juta.

Kini, dibawah garapan pengarah muda berbakat besar, Sayfiq Yusof, Polis Evo 3 yang menjengah pawagam bermula hari ini, sekali lagi diramalkan bakal blockbuster. 

Zizan dan Shaheizy, dalam wawancara baru-baru ini, berkongsi cerita dan harapan terhadap filem yang  disebut-sebut sebagai penutup bagi francais diminati ramai itu. 

Sejauh mana keakraban Inspektor Sani dan Khai dalam Polis Evo 3, menyamai hubungan persahabatan antara anda berdua?

Shaheizy:

“Francais Polis Evo adalah satu perjalanan yang mana menerusi filem pertama penonton menyaksikan titik perkenalan antara Inspektor Khai dan Sani yang persahabatan mereka menjadi lebih erat dalam filem kedua.

“Keakraban kedua-duanya diperkukuh dalam Polis Evo 3 dimana masing-masing menjadi lebih erat, saling memahami isi hati satu sama lain.

“Keakraban dalam filem adalah realiti bagi persahabatan saya dan Zizan. Meskipun kami tidaklah hari-hari berjumpa, tetapi kami tahu, kami ada untuk satu sama lain.

Zizan:

“Saya mengidolakan Shaheizy Sam dan dialah yang membuka minda saya kepada dunia lakonan. Sebelum ini kami tidak pernah bekerjasama sehinggalah masing-masing disatukan dalam Polis Evo.

“Awal dahulu memang saya segan dengan dia, namun sekarang situasinya berbeza. Lama kami berkawan, kesebatian persahabatan yang luar biasa. 

“Boleh dikatakan, kami sangat kenal Inspektor Sani dan Khai. Kami sayang karakter, persahabatan, dan Polis Evo.

Antara babak-babak lasak dalam filem ini, yang manakah menjadi kegemaran anda berdua?

Zizan:

“Apa-apa yang melibatkan kereta dan perlumbaan. Dalam Polis Evo 3, ada aksi lasak yang saya buat, ada yang tidak. Kalau saya boleh memang saya nak buat semua,  walaupun berisiko.

Shaheizy:

“Saya lebih selesa buat sendiri babak pertarungan. Ia sebahagian lakonan. Kalau aksi-aksi yang terlalu ekstrim dan berisiko, yang diluar kemampuan, saya tak akan buat.

Sejauh manakah versi asal dialog yang ditulis untuk watak anda berdua dikekalkan, adakah berlaku perubahan secara spontan ketika penggambaran dibuat?

Zizan:

“Saya sebenarnya tidak bersetuju kalau sesuatu skrip atau dialog diubah secara spontan ketika berlakon kerana ia akan mencacatkan cerita. Harus diingat, filem bukan stage show.

“Pada saya, apa-apa perubahan yang dilakukan pada dialog perlu dibincangkan  terlebih dahulu.

“Saya khuatir masing-masing jadi buntu kalau skrip diubah secara spontan. Tindakan itu akan menjadikan  cerita tak kemas.

Shaheizy: 

“Kalau tindakan menukar skrip saat berlakon itu menjadi, ia adalah magis. Kalau tidak, ia mencacatkan (cerita). Sebarang perubahan, waima sedikit akan mengubah cerita.

“Sebab itu kena betul-betul pasti dengan apa yang kita nak. Kalau dialog itu sudah dirancang, kemudian diubah secara spontan rasanya tak ada masalah.

Harapan Zizan dan Sam terhadap Polis Evo 3. Berdasarkan populariti francais Polis Evo, mampukah Polis Evo 3 menandingi rekod kutipan pecah panggung filem box office seperti Mat Kilau?

Zizan:

“Insya-allah, sebab ramai yang tunggu filem ini. Berdasarkan komen netizen di  media sosial. Ramai juga yang kongsikan trailer filem ini  di laman TikTok. Itu sudah menyeronokkan saya. Saya mahu filem ini diperkatakan ramai. Saya tidak meletakkan harapan agar filem ini meleburkan mana-mana rekod kutipan filem lain, cukup sekadar ia diperkatakan ramai.

Shaheizy Sam: 

“Kutipan box office tidak membawa apa-apa kesan kepada kami. Tetapi, ia penting kerana  menunjukkan industri perfileman kita masih hidup dan kukuh.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya