KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Selangor dan Negeri Sembilan yakin tidak akan ada lagi ‘tsunami Melayu’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat dengan baik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pilihan Raya Selangor PH, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, rakyat akan terus menyokong PH untuk menyambung mandat selepas PRN nanti.
“Mana ada gelombang sokongan Melayu sokong PN? Orang Melayu di Selangor selesa dengan prestasi yang PH tunjukkan sebagai kerajaan, tidak ada pimpinan politik sejak 2008 salah guna kuasa melibatkan rasuah, beri projek kepada anak menantu, rekod bersih.
“Di Kelantan, apa yang mereka boleh harapkan dari kerajaan negeri itu sedangkan isu air pun tidak boleh selesai sehingga ke hari ini?” soal Mohd. Yahya.
Selain itu, kata beliau, kekalahan Barisan Nasional (BN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana PH, bukan Perikatan Nasional (PN).
“Kerusi UMNO hilang bukan kerana PN, tetapi kerana PH, sebab kita yang kalahkan BN, itu jelas. Walaupun ada beberapa kerusi yang majoritinya Melayu swing kepada PN, impak besar kekalahan BN adalah kerana PH sebenarnya, bukan PN.
“Tetapi bila kita dah bergabung sekarang, sudah pasti kekuatan itu bertambah, dan sasaran pihak lawan kita hanyalah PN,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, gelombang besar yang bermula dari negeri utara dan pantai timur tersebut turut dapat dirasai impaknya di Selangor bahkan mungkin ke Negeri Sembilan.
Menurutnya, gelombong yang disifatkannya sebagai ‘terlampau hebat’ itu juga diyakini dapat mengubah pendirian pengundi daripada parti lain termasuk UMNO untuk menyokong PN pada PRN nanti.
Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut yakin pengundi dalam kalangan masyarakat Melayu di negeri itu akan memberi sokongan kepada gabungan Kerajaan Perpaduan ketika PRN kelak.
Katanya, keyakinan tersebut jelas dapat dilihat menerusi keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu serta kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini yang dimenangi kesemuanya oleh gabungan PH dan BN.
“Kami kenal masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, kami yakin mereka akan bersama Kerajaan Perpaduan di negeri ini. Pengundi Melayu tidak melihat gelombang semata-mata. Mereka turut lihat dan menilai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri selama ini dalam meningkat ekonomi dan mensejahterakan rakyat.
“Mereka (pembangkang) boleh berkata apa sahaja, sebab mereka orang politik dan boleh kata apa sahaja untuk yakinkan masyarakat tetapi mereka harus lihat fakta, bukan hanya seronok untuk buat kenyataan begitu. Kalau diikutkan keputusan Parlimen, semuanya kita menang juga di seluruh DUN jika ikut keputusan hari ini,” katanya. – UTUSAN