IPOH: Petugas media yang membaca khutbah Jumaat di tiga buah masjid di sini hari ini sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) menyifatkan peluang yang diberikan kepada mereka itu merupakan satu pengiktirafan yang besar terhadap profesion kewartawanan di negara ini.
Mereka yang menyampaikan khutbah ialah Editor Rencana, Agama dan Sastera Berita Harian, Mohd Nazmi Yaacob, yang diperkenankan tauliah membaca khutbah Jumaat di Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Idris Shah II.
Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad pula menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Sultan Azlan Shah manakala Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohd. Fahmi Mohd. Nor di Masjid Muhibbuddin Shah.
Saifullah, 39, menjunjung kasih atas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk petugasa media menyampaikan khutbah.
Menurutnya, perkenan baginda merupakan satu pengiktirafan yang besar terhadap profesion kewartawanan di negara ini.
“Saya terharu kerana ini merupakan pengalaman pertama seumur hidup yang tidak akan dilupakan sepanjang lebih 15 tahun berada di dalam dalam profesion ini kerana saya anggap sebagai satu pengiktirafan tertinggi buat pengamal media di negara ini.
“Terima kasih tidak terhingga buat Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Harith Fadzilah Abd Halim serta pihak Pengurusan Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh kerana memberikan peluang untuk saya menyampaikan khutbah ini.
“Penghargaan juga harus diberikan kepada seluruh petugas media yang menjadi barisan hadapan dalam menyampaikan berita sahih kepada masyarakat. Sesungguhnya mereka telah berkorban tenaga, fikiran, masa dan harta benda demi menyajikan maklumat yang tepat kepada semua,” katanya.
Menurutnya, seperti mana yang terkandung di dalam teks khutbah Jumaat hari ini, sebagai wartawan, adalah sangat penting sifat benar dan jujur diamalkan oleh semua pengamal media dalam menyampaikan berita mahu pun memberikan maklumat kepada masyarakat.
“Tanggungjawab sebagai penyampai berita kepada masyarakat harus dibuat secara bertanggungjawab berlandaskan nilai-nilai Islam agar pekerjaan yang dilakukan diterima sebagai ibadah dan diberikan ganjaran oleh Allah SWT,” katanya.
Sambutan Hawana berlangsung di bandar raya ini pada Sabtu dan Ahad ini dengan acara kemuncaknya ialah perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad ini di Pusat Konvensyen Casuarina, Hotel Casuarina@Meru pada pukul 2.45 petang. – UTUSAN