IPOH: Sebanyak 1,000 unit lampu jalan solar pintar dipasang secara berperingkat di kawasan pedalaman termasuk perkampungan orang Asli di negeri ini dalam tempoh 12 bulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kos pemasangan lampu solar pintar itu bermula RM7,000 hingga RM14,000 seunit, bergantung kepada spesifikasi lampu.
“Ramai penduduk kampung Orang Asli mengadu kawasan mereka bergelap dan menuntut supaya kerajaan negeri untuk memasang lampu jalan.
“Dahulu memang ada program pencahayaan kampung yang mana bil elektriknya dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (kini Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) namun terlalu banyak kampung, menyebabkan kerajaan tidak mampu membayarnya,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Program Pelestarian Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) @ Meru Raya dengan penggunaan ‘Smart Solar Streetlighting & Rooftop Solar Panel’ di sini semalam.
Menurut Saarani, menerusi teknologi itu, tiada lagi masalah untuk membayar bil elektrik kerana penjanaan semula tenaga elektrik menggunakan tenaga solar yang dapat menjimatkan kos.
“Kerajaan negeri akan membuat kajian secara terperinci untuk mengenal pasti lokasi yang memerlukan pemasangan lampu jalan solar pintar yang perlu diberikan keutamaan berikutan banyak permohonan diterima dari seluruh Perak termasuk kawasan Felda,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, Perak berupaya mencapai lebih banyak kawasan berstatus bandar raya pada masa akan datang termasuk di Manjung dan Tanjung Malim.
“Selain Manjung yang sudah menyatakan kesediaan, Tanjung Malim juga contohnya dijangka mengalami pertambahan penduduk apabila ramai pekerja industri berpindah ke kawasan itu.
“Ini menyebabkan banyak kemudahan dibina seperti sekolah, pasar dan hospital yang akan menggamit penambahan sebuah bandar raya baharu,” katanya.
Semalam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, MPM sudah memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai hasrat daerah itu untuk mencapai status bandar raya sekali gus menjadi bandar raya kedua di Perak selepas Ipoh. – UTUSAN