KOTA TINGGI: Kira-kira 50 peniaga Pasar Awam Kota Tinggi melahirkan rasa kecewa apabila diarah berpindah ke lokasi baharu yang dianggap kurang strategik dan jauh dari pusat bandar.
Rata-rata peniaga yang telah berpuluh tahun berniaga di pusat perdagangan Kota Tinggi itu mendakwa dipaksa berpindah ke Taman Kota Jaya yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi asal.
Peniaga sayur, K. Sashideran, 60 berkata lokasi baharu yang disediakan pihak Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) itu terletak jauh dari penempatan penduduk.
Katanya, peniaga tiada pilihan terpaksa menandatangani borang persetujuan untuk berpindah sebelum Ramadan lalu atau lesen perniagaan mereka tidak dilanjutkan.
“Kita bukannya peniaga besar, sudah lah rakyat tengah susah kita pun tengah susah dan suruh kita pindah dengan kos pemindahan kita kena tanggung sendiri.
“Kalau mereka cakap alasan bangunan ini tidak selamat ke apa jadi kenalah carikan satu tapak yang dekat bandar juga,” katanya.
Bagi Mohd Khairullizal Kunju Mohamed, 45 pula mendakwa tiada keperluan untuk mereka berpindah ke kawasan baharu memandangkan lokasi sedia ada telah dirizabkan sebagai tapak pasar awam.
“Jika kita pergi sana kita ibarat baru nak pergi berniaga sana dan umpama seperti kami bermula hidup baru. Bukan senang kita nak tempuhi, dekat bandar di sini orang kenal kita tetapi di Taman Kota Jaya siapa kenal kita.
“Di sana kami kena cari pelanggan baru, jika di bandar pelanggan ada di keliling bandar jika pelanggan dari bandar hendak ke taman memang masalah sikit.
“Pasaran kita sudah la tidak seberapa nak cari modal baru di tempat baru susah buat kami. Kami harap pihak MDKT menyediakan lokasi baharu di dalam kawasan bandar atau membenarkan kami terus kekal berniaga di lokasi ini,” katanya.
Sementara itu Yang Di Pertua MDKT, Mohammad Nazrul Abd Rahim ketika dihubungi memaklumkan kesemua peniaga ditempatkan di kawasan baharu memandangkan bangunan sedia ada sudah tidak selamat.
Katanya kesemua peniaga telah menandatangani surat persetujuan berpindah ke lokasi baharu hujung tahun lepas dan bangunan tersebut akan dibangunkan semula untuk sebuah projek baharu. – UTUSAN











