BULAN Syawal bakal melabuhkan tirai. Seluruh umat Islam menyambut bulan kemenangan setelah sebulan berpuasa. Semestinya di UKM, Syawal diraikan penuh meriah, walau serba sederhana. Namun, saya bukan berhasrat bercerita tentang kemeriahan sambutan Aidilfitri di kampus. Saya percaya, selama sebulan ini, aura Syawal jelas terasa di mana-mana. Apa sebenarnya mesej dan juga pengajaran di sebalik kemeriahan Syawal ini? Selepas sebulan beristiqamah menunaikan ibadah di bulan Ramadan, pastinya kita mahu momentum itu diteruskan dengan memastikan Syawal juga mempunyai nilai ibadah yang membawa impak bermakna.
KESEPADUAN SOSIAL
Apabila disebut tentang ziarah, takrifan konseptual amalan itu pastinya berkait rapat aktiviti kunjung mengunjung. Sepertimana masyarakat Islam yang lain, di UKM, amalan ziarah sesama warga dilaksanakan di hampir kesemua institut kajian, fakulti dan pusat tanggungjawab. Kemuncak aktiviti ini adalah pada 18 Mei, di mana UKM mengadakan sambutan di peringkat universiti dengan membawa tema, Aidilfitri Dirai, Kecemerlangan Disyukuri.
Namun di sebalik aktiviti ziarah ini, terselit nilai dan pengajaran yang wajar dihayati. Contohnya pemerkasaan sebuah komuniti harmoni yang mempunyai kesepaduan sosial, kerjasama serta permuafakatan yang tinggi. Ia penting dalam menyambung legasi UKM sebagai sebuah Universiti Watan yang meraikan kepelbagaian, namun sarat dengan elemen tradisi yang sentiasa menjadi pegangan.
UKM mahu kekal sebagai khazanah ilmu nasional yang perlu didampingi masyarakat. Justeru, Syawal ini menjadi kunci keharmonian yang membuka pintu keakraban seluruh warga, tak kira siapapun mereka. Amalan ziarah mampu menangkis segala perbezaan, merungkai perselisihan serta membuka ruang buat warga yang mahu meneroka segala peluang yang ada. Menerusi budaya ziarah, setiap warga berupaya menjalin ikatan persaudaraan lebih erat. Amalan ziarah merupakan paksi kepada sebuah kesepaduan sosial yang menjadi asas kecemerlangan sesebuah organisasi.
ADAB DAN ADAT
Sambutan perayaan juga secara tidak langsung mendidik kita berkomunikasi dengan lebih berkesan. Kita berkomunikasi dengan kesantunan adab dan budaya Melayu agar kedua belah pihak merasa harmoni. Kita juga elakkan berbicara topik sensitif yang boleh menimbulkan kekeliruan atau salah faham. Sebagai tuan rumah, kita belajar berkomunikasi dengan penuh adab dan berhemah. Sebagai tetamu pula, kita belajar meraikan perbezaan sambil menjaga kerahsiaan. Adab bertandang, yang elok kita teladani, yang buruk letak ke tepi. Nilai-nilai ini begitu selari dengan elemen Prihatin yang terkandung dalam kerangka TERAS UKM. Di bawahnya, ada prakarsa-prakarsa tertentu meliputi aspek perpaduan, kebajikan dan kemasyarakatan yang direncanakan seiring dengan matlamat dan visi universiti.
AIDILFITRI DIRAI, KECEMERLANGAN DISYUKURI
Tidak dinafikan, hormat menghormati serta menjaga kerukunan masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan sebahagian daripada elemen penting yang membentuk keserakanan. Ianya juga menjadi intipati dalam melahirkan sebuah generasi madani pada masa depan. Pada masa yang sama, UKM juga turut meraikan Aidilfitri dengan mensyukuri segala kejayaan yang telah dikecapi dalam bidang penyelidikan, ketokohan, dan sumbangan kepada negara.
Akhir kata, semoga sambutan perayaan seperti ini akan dapat disuburkan lagi dengan penzahiran harapan, penghormatan dan kasih sayang serta jalinan kolaborasi yang membawa pelbagai manfaat untuk masa depan. Salam Aidilfitri buat semua dari seluruh warga Universiti Watan Kita.
Penulis ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.