PARIT BUNTAR: Seorang lelaki maut setelah van yang dipandunya melanggar sebuah kedai runcit di Simpang Lima di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa yang berusia 33 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kerian, Marzuki Mat meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan menghubunginya di talian 013-9116222. – UTUSAN