WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sudah meluluskan rancangan menyerang Iran, namun masih menangguhkan arahan akhir bagi memberi peluang kepada Teheran menunjukkan kesediaan untuk menghentikan program nuklearnya.
Dengan situasi yang terus memuncak, dunia kini berdebar menunggu sama ada Trump akan memilih jalan peperangan atau kembali ke meja rundingan, keputusan yang bukan sahaja akan mengubah haluan geopolitik Asia Barat dalam masa terdekat tetapi juga memberi impak besar kepada masyarakat global.
Menurut The Wall Street Journal dan sumber yang rapat dengan perbincangan tertutup kerajaan AS, pegawai-pegawai kanan pasukan pertahanan kini sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan terhadap Iran dalam masa terdekat, termasuk seawal hujung minggu ini.
Hanya mahu sasar Fordow
Beberapa ketua agensi persekutuan sudah mula membuat persiapan bagi menghadapi tindakan ketenteraan termasuk menggunakan bom pemusnah kubu dengan menyasarkan kemudahan nuklear Iran di Fordow yang terletak jauh di bawah tanah.
Namun, menurut beberapa sumber yang mengetahui perbincangan tersebut, pentadbiran Trump kini meneliti cara untuk melaksanakan serangan yang berkesan tanpa menjurus kepada peperangan berskala penuh.
Beberapa penasihat rapat beliau berhujah, serangan yang bersifat tegas tetapi terhad adalah berbeza daripada tindakan besar-besaran yang boleh memanjangkan konflik.
“AS mungkin hanya akan jatuhkan beberapa bom letupan udara berkuasa tinggi (MOAB) yang juga dikenali juga sebagai ‘ibu segala bom’ terhadap Fordow, musnahkan aset nuklear terakhir Iran dan kemudian keluar,” tulis bekas duta Trump ke Israel, David Friedman.
Trump mengakui sudah mempunyai beberapa idea tentang apa yang perlu dilakukan, tetapi lebih suka membuat keputusan akhir.
Trump tetap berwaspada agar tidak terlalu terjebak dalam konflik asing seperti yang beliau janjikan ketika kempen pilihan raya tahun lalu.
“Saya mungkin akan lakukannya atau mungkin juga tidak. Saya suka membuat keputusan di saat akhir, terutama sekali dalam isu perang. Segalanya boleh berubah sekelip mata, dari satu keputusan yang ekstrem kepada sesuatu lagi yang berbeza,” katanya.
Menurut dua diplomat Eropah, sepanjang hujung minggu lalu, negara-negara sekutu mendapat makluman pentadbiran Trump bercadang melihat dahulu hasil serangan Israel terhadap program nuklear Iran sebelum menggunakan kekuatan tenteranya sendiri.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyatakan negaranya tetap komited kepada diplomasi dan menegaskan Iran tidak pernah dan tidak akan sesekali berhasrat membina senjata nuklear.
Menteri-menteri luar dari United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman dijangka mengadakan rundingan nuklear bersama wakil Iran pada Jumaat di Geneva, menurut satu sumber.
Tekanan dari sekutu politik
Trump juga dipercayai menerima tekanan daripada sekutu politiknya untuk mengambil tindakan tegas terhadap Iran.
Antaranya ialah Senator Carolina Selatan, Lindsey Graham yang dikatakan sudah berulang kali menggesa Trump melaksanakan tindakan ketenteraan itu.
Graham turut mendakwa Trump kini sangat fokus, tenang dan benar-benar serius apabila menyatakan beliau tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear.
Namun pentadbirannya turut menerima desakan daripada sekutu agar tidak menyertai serangan secara langsung.
Antara kebimbangan utama termasuk kemungkinan Iran menyekat Selat Hormuz, saluran utama eksport minyak global dan risiko Iran mempercepatkan penghasilan senjata nuklear selepas diserang AS.
Lapor CNN, dalam kalangan penasihat Trump, ada yang mencadangkan serangan seperti pembunuhan Komander Tertiggi Iran, Jeneral Qasem Soleimani pada tahun 2020 sebagai model, tindakan berisiko tetapi tidak membawa kepada perang menyeluruh.
Ketika itu, Trump mengarahkan serangan dron terhadap Qasem di Baghdad dan walaupun ia menerima tindak balas balas daripada Iran, ia tidak mencetuskan perang penuh.
Persoalan sama ada Trump boleh melaksanakan serangan terhadap Iran tanpa terjerumus dalam kancah peperangan berlarutan menjadi topik perdebatan hangat.
Pakar Politik Institut Quincy, Trita Parsi memberi amaran sebarang serangan oleh AS akan mencetuskan tindak balas besar-
besaran Iran terhadap pangkalan tentera AS di rantau tersebut.
“Peperangan penuh akan tercetus antara AS dan Iran. Walaupun Iran mungkin tidak mampu mengekalkan peperangan jangka panjang, Washington dijangka menanggung kos tinggi, katanya.
Senator Josh Hawley dari Missouri pula secara terbuka menyatakan rasa tidak selesa jika AS melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran.










