PETALING JAYA: Pelajar tingkatan lima tahun ini dikhuatiri boleh tertekan sekiranya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipercepatkan kepada Januari tahun hadapan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, sebarang keputusan mempercepatkan peperiksaan itu dilihat tidak adil kepada mereka.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja menambahkan beban kepada guru, tetapi juga memberi tekanan kepada pelajar.
Lebih membimbangkan, katanya, pelajar juga tidak membuat persediaan yang mencukupi dan pelbagai perkara terutama dari aspek pentadbiran juga akan terbantut.
“Kalau dipercepatkan kepada Januari, jadual habiskan silibus kena padat, ulang kaji tidak dapat buat dan ujian lisan serta banyak perkara lagi kena buat awal.
“Jadi tidak adil dan kasihan kepada pelajar sebab SPM memberi tekanan kepada mereka. Jika tidak lulus, maka tidak dapat masuk alam pekerjaan.
“Selain itu, kalau sebelum ini dibuat pada Mac, jika dianjak pada Januari, maka ada beza tiga bulan, jadi 12 minggu sudah hilang dan ini sukarkan pelajar untuk mempersiapkan diri mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, SPM 2023 didakwa berkemungkinan besar dipercepat pada Januari tahun hadapan, sebulan lebih awal berbanding SPM 2022 yang diadakan pada hujung Februari lepas.
Ia dipercayai membolehkan sesi permulaan persekolahan dapat dianjakkan secara berperingkat ke awal tahun seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
Sumber Utusan Malaysia mendakwa, ura- ura peperiksaan utama dipercepatkan sedang bertiup kencang dalam kalangan pendidik, namun masih belum ada pengesahan berhubung perkara itu. – UTUSAN










