Pekerja kilang ditangkap curi sotong, ikan

Pekerja kilang ditangkap curi sotong, ikan

AKSI dua lelaki yang dirakam CCTV ketika mencuri stok bekalan ikan dan sotong di hadapan sebuah kedai makan di Kompleks Perniagaan Guar Utama, Guar Chempedak di Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang pekerja kilang direman selama enam hari bagi membantu siasatan mencuri sotong dan ikan milik seorang peniaga kedai makan di Kompleks Perniagaan Guar Utama, Guar Chempedak, di sini pada Khamis lalu.

Suspek berusia 25 tahun itu dicekup polis pada 4 Mei lalu di rumahnya di Sungai Limau Luar, di sini setelah mengaku melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi rakannya yang melarikan diri sebaik menyedari kegiatan mereka tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, laporan diterima daripada pemilik kedai makan itu setelah menyedari empat kotak berisi ikan dan dua kotak sotong bernilai RM1,000 yang diletakkan di hadapan premisnya hilang.

“Pemilik berumur 37 tahun itu memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Y15 telah mengambil kesemua stok bekalan untuk kegunaan kedai makannya.

“Hasil risikan polis berjaya menahan suspek dan dia mengaku telah mencuri stok itu sebelum menjualnya kepada seorang peniaga wanita dengan harga RM150,” katanya.

Kata Shahnaz, pihaknya merampas semula sotong dalam anggaran berat tiga kilogram daripada peniaga wanita terbabit.

“Suspek direman selama tiga hari setelah ditangkap sebelum disambung reman selama tiga hari lagi sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Kita sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dimajukan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk proses undang-undang seterusnya dan dalam masa sama sedang menjejaki rakan subahatnya yang telah menghilangkan diri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya