Pekerja kilang besi maut, kekasih parah kemalangan pulang beli cincin pertunangan - Utusan Malaysia

Pekerja kilang besi maut, kekasih parah kemalangan pulang beli cincin pertunangan

MUHAMMAD Aliff Hafizzudin Samsul bersama bakal tunangnya, Nuralifah Ilyana Azman yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 105, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran kawasan perindustrian Kerteh, Kemaman, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang pekerja kilang besi maut, manakala bakal tunangnya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 105, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran kawasan perindustrian Kerteh, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, Muhammad Aliff Hafizzudin Samsul, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala bakal tunangnya, Nuralifah Ilyana Azman, 21, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa yang beralamat di Kampung Tanjung, Bukit Mentok, Kemaman dalam perjalanan ke arah Dungun untuk menghantar kekasihnya di Kampung Seberang Pintasan selepas selesai membeli cincin pertunangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mazda yang dinaiki pasangan suami isteri tiba-tiba hilang kawalan, dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Proton Wira yang dinaiki mereka.

“Akibat rempuhan tersebut, kenderaan yang dinaiki mangsa remuk teruk dan terbalik,” katanya.

Hanyan berkata, kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.