MEKAH: Rakyat Malaysia yang menetap di sini, sama ada menyambung pelajaran, bekerja atau mengikut keluarga, bersyukur apabila berada dekat dengan Tanah Suci walaupun berdepan kos sara hidup tinggi.
Antara kelebihan yang diperoleh termasuk mengerjakan umrah balik hari, mempunyai stok air zam-zam yang tidak pernah putus dan menunaikan haji hampir setiap tahun bergantung kepada kuota dan kemampuan.
Seorang suri rumah, Rokhaizat Rahmat, 37, berkata, dia lapan sekeluarga menetap di Batha Quraish kerana mengikut suaminya, Muhammad Nur Amir Rahmat, 34, yang menyambung pengajian di Universiti Umm al-Qura peringkat Sarjana Syariah (Usul Fiqh).
“Pertama kali berada di sini ialah ketika mengerjakan haji pada 1999 sebelum saya memperoleh visa menetap di Arab Saudi pada 2014 ketika belajar di Jordan. Saya dapat sesuaikan diri di sini kerana ketika itu sudah biasa ulang-alik dari Jordan ke Mekah.
“Saya sudah mengerjakan haji hampir setiap tahun sejak duduk di sini tujuh tahun lalu kecuali ketika pandemik dan antara cabaran dihadapi ialah mengenai kesihatan terutama ketika peralihan musim serta suhu panas,” katanya yang berasal dari Bagan Datuk, Perak kepada Utusan Malaysia.
Menurut Rokhaizat, selain dekat dengan Kaabah dan Masjidilharam, antara kelebihan menetap di sini ialah dapat melihat aneka budaya, menjalinkan hubungan dengan pelbagai bangsa dan menguasai kitab turath serta mudah mendapatkan kitab rujukan utama di dalam bahasa Arab.
Tambahnya, ketika pandemik, dia meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada zakat dan sumbangan orang ramai selain mengambil upah membuat badal umrah untuk ahli keluarga rakan-rakan yang mengenalinya.
“Apabila rindu Malaysia, kami akan bertemu dengan kenalan pada masa yang dirancang setiap bulan. Kami juga menyantuni duyufurrahman untuk mengharapkan kebaikan,” katanya sambil memberitahu jarak Masjidilharam dengan rumahnya kira-kira 15 kilometer.
Pasangan itu mempunyai enam anak iaitu Umar Abdul Aziz, 13; Ulya, 12; Asmaa, 8; Abdurrahman, 6; Ayyub, 4, dan Ibrahim, 1.
Seorang lagi suri rumah, Norashikin Ab. Hakam, 40, berkata, dia berhijrah sejak lapan tahun lalu kerana mengikut suaminya yang mendapat kerja dalam bidang minyak dan gas di Rabigh, Arab Saudi yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Mekah.
Kata anak kelahiran Kuantan, Pahang itu, dia bersama suami, Mazlan Pauzi, 42, dan tiga anaknya berusia antara enam hingga 15 tahun merasa cukup bertuah apabila dapat mengerjakan umrah balik hari.
Katanya, dia baru sekali mengerjakan haji pada 2018 bersama suami dan perlu menunggu lima tahun lagi untuk berbuat demikian.
“Kami tinggal di pangsapuri didiami orang Malaysia yang bekerja di sini. Pada awalnya memang kekok untuk menyesuaikan diri di tempat dan cuaca baharu tetapi lama-kelamaan sudah biasa,” katanya. – UTUSAN