PETALING JAYA: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan dakwaan bahawa pegawainya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga menafikan tuduhan bahawa beliau telah memecat pegawainya kerana terpalit dengan isu rasuah.
“Setakat ini, tiada pegawai saya yang telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak SPRM.
“Namun, jika terdapat sebarang siasatan, saya dan mana-mana pegawai saya bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, sebuah portal menerusi saluran Telegram mendakwa, Nik Nazmi dan Menteri Komunikasi dan Digital telah memecat pegawai masing-masing kerana dipanggil SPRM untuk membantu siasatan rasuah. – UTUSAN