NGO gesa wakil rakyat lebih 'cakna' isu kehadiran Rohingya - Utusan Malaysia

NGO gesa wakil rakyat lebih ‘cakna’ isu kehadiran Rohingya

SOPHIAN Mohd. Zain (kanan) bersama Azmi Jaafar (tiga dari kanan) ketika bertemu sebahagian daripada warga Rohingya yang tinggal di sebuah pangsapuri di Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BUTTERWORTH: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini menggesa kerajaan negeri khususnya wakil rakyat setempat lebih cakna dalam isu melibatkan pelarian asing warga Rohingya yang tinggal di kawasan masing-masing.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus), Sophian Mohd. Zain berkata, ini kerana kumpulan pelarian itu bukan sahaja semakin berkembang dan mampu membentuk sebuah komuniti lebih besar, malah kehadiran mereka juga menidakkan hak warga tempatan.

“Macam mana depa (mereka) boleh biarkan pelarian ini masuk dan tinggal di sini untuk tempoh yang lama?

“Nak duduk sini kena ikut apa yang ditulis dalam kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian). Dalam kad kata tak boleh kerja. Kalau depa kerja juga, depa dah rampas hak rakyat Malaysia untuk bekerja,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengetuai pasukan Terjah Surplus Pulau Pinang di pekarangan sebuah pangsapuri di Bagan Dalam, di sini semalam.

Dianggarkan lebih 200 warga Rohingya tinggal di kawasan pangsapuri itu sejak lebih dua dekad lalu.

Selain ‘berlagak’ seperti warga tempatan, sebahagian mereka dikatakan turut membuka perniagaan sendiri serta mampu membeli motosikal secara tunai walaupun menggunakan nama orang lain dalam geran kenderaan tersebut.

Mengulas lanjut, Sophian berkata, niat mereka ialah untuk membantu kumpulan pelarian itu, bukan menyusahkan lagi kehidupan mereka.

“Kita buat program ‘gempur’ ini untuk tunjukkan berapa ramai komuniti Rohingya ini di Bagan Dalam. Bila UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) nak hantar mereka ke negara ketiga pula sedangkan hampir semuanya memiliki kad UNHCR?” soal beliau.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Raudhatul Huda, Azmi Jaafar, program ‘gempur’ warga Rohingya itu juga bertujuan ‘membuka mata’ dan memberi isyarat yang jelas kepada NGO atau aktivis prokemanusiaan untuk turun padang dan membantu golongan berkenaan.

“Kita tahu depa ni tak boleh bekerja di sini. Tapi, kalau depa tak kerja, siapa nak bagi depa makan? Anak-anak nak sekolah?

“UN ada salurkan dana kepada kumpulan pelarian ini melalui NGO-NGO hak asasi manusia ini. Mana dana itu? Mengapa tak sampai kepada mereka?” soalnya yang turut berharap operasi bersepadu diadakan secara lebih kerap untuk mengesan dan memantau warga asing ketika berada di jalan raya.

Dalam pada itu, seorang wakil kepada penduduk Rohingya di kawasan itu memberitahu, sebahagian besar mereka telah memohon untuk ke negara ketiga dan ada yang telah menjalani sesi temuduga bersama Jabatan Imigresen.

“Sepanjang tinggal di Pulau Pinang, memang kami tak pernah dapat sebarang bantuan daripada UN. Jadi terpaksa bekerja untuk teruskan kehidupan,” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan serta rakyat Malaysia kerana diberi peluang tinggal di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya