PETALING JAYA: Bagi meraikan dan menghargai pengguna, syarikat pengeluar rokok elektronik (e-rokok), Nanostix menganjurkan konsert The Gentlemen yang menggabungkan lima artis legenda iaitu Datuk Ramli Sarip, Datuk M.Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan dan ratu rock negara, Ella dalam satu pentas.
Konsert tertutup di World Trade Centre (WTC) yang bakal berlangsung Sabtu ini menyasarkan kehadiran 1,000 pengguna Nanostix yang rata-rata terdiri dalam lingkungan umur 35 hingga 40 tahun.
Pengarah Urusan Nanostix Innovation Sdn. Bhd. (NISB), Shahabudeen Jalil berkata, konsert tersebut juga menggabungkan tiga majlis dalam satu acara yang turut dianjurkan di tiga lokasi lain.
“Konsert ini bertujuan meraikan pengguna yang rata-ratanya membesar dengan lagu-lagu penyanyi legenda ini. Kedua, ia juga diadakan sempena rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri serta sempena pihak kerajaan sudah mewartakan undang-undang mengenai penggunaan e-rokok dan perniagaan dapat dijalankan dengan baik.
“Konsert ini terbuka kepada pengguna Nanostix dan terhad kepada yang berumur 18 tahun ke atas. Kita jemput pengguna melalui premis-premis jualan di seluruh negara, dengan mereka perlu mengimbas kod QR yang disediakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain Kuala Lumpur, konsert tersebut sudah dianjurkan di Pulau Pinang dan bakal diteruskan di Johor Bahru pada 13 Mei dan lokasi terakhir di Kuantan (20 Mei).
Dalam perkembangan lain, April lalu, Shahabudeen berkata, pihaknya melahirkan kelegaan selepas kerajaan mewartakan cukai ke atas penjualan cecair vape e-rokok.
Perkembangan itu sekali gus memberikan nafas baharu terhadap industri vape di negara ini selepas lebih 10 tahun pihaknya memperjuangkan isu tersebut.










