Naik gaji guru sarjana hargai pengorbanan pendidik

Naik gaji guru sarjana hargai pengorbanan pendidik

GURU-GURU memiliki ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) berkorban mansa, tenaga dan wang dalam meningkatkan profesionalisme serta kerjaya masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah kerajaan untuk meneliti kenaikan gaji guru ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) adalah wajar dengan mengambil kira pengorbanan mereka dalam meningkatkan profesionalisme dan kerjaya masing-masing.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Dr. Anuar Ahmad berkata, guru terlibat banyak menghabiskan masa di samping mengeluarkan perbelanjaan sendiri demi memperoleh kelulusan tersebut.

Sehubungan itu katanya, mereka wajar dihargai dengan memberikan gaji dan imbuhan dan menawarkan kemudahan seperti biasiswa dan cuti belajar untuk tenaga pengajar yang ingin menyambung pengajian ke peringkat siswazah.

“Hal ini kerana guru-guru yang sambung belajar bukan sahaja tidak menerima kenaikan gaji dan imbuhan, malah mereka terpaksa menanggung kos pembiayaan untuk meneruskan pengajian sama ada di peringkat sarjana atau PhD.

“Terdapat kalangan guru tersebut, selain menggunakan simpanan sendiri, ada juga yang membuat pinjaman bank untuk menampung pengajian peringkat siswazah mencecah lebih RM20,000,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang berkata, cadangan kenaikan gaji guru yang mempunyai kelayakan akademik lebih tinggi, sedang berada dalam radar perbincangan Kementerian Pendidikan.

Justeru Anuar berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan biasiswa khas untuk 412,708 guru di seluruh negara yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di samping memberikan imbuhan kenaikan gaji dan elaun khas.

Katanya, langkah itu amat penting jika ingin melahirkan lebih ramai guru berkelulusan tinggi sejajar perkembangan pendidikan semasa agar mereka mendapat pendedahan secukup sebelum mengajar murid dan pelajar.

“Mungkin boleh dipertimbangkan pinjaman pendidikan kepada guru berminat dengan kemudahan dan pembayaran balik berpatutan agar usaha melahirkan lebih ramai guru memiliki pendidikan tinggi. Jika di negara lain seperti Finland, kelayakan akademik guru adalah ijazah sarjana walaupun mengajar sekolah rendah.

“Kita perlu melahirkan lebih ramai guru di negara ini untuk memiliki akademik tinggi dengan memberikan kemudahan pembiayaan dan ruang sewajarnya kepada mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Anuar menjelaskan, terdapat guru terpaksa mengorbankan masa cuti hujung minggu dan cuti sekolah untuk menyiapkan tugasan universiti di samping menghadiri kuliah dan tutorial universiti di samping berbelanja yuran pengajian.

“Mereka tidak dipaksa untuk berbuat demikian, sebaliknya guru-guru mahu nilai tambah baharu agar dilengkapi persediaan secukupnya sebelum mengajar sejajar perkembangan pendidikan masa kini. Sudahlah berbelanja lebih RM20,000 dan korban masa lapang, akhirnya mereka tetap kembali bertugas di gred dan gaji sama,” katanya.

Terdahulu selepas merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam, Fadhlina dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan sedang meneliti cadangan menaikkan gaji guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi.

Katanya, langkah itu sekali gus dapat mendorong golongan pendidik meningkatkan kompetensi diri ke arah kegemilangan profesionalisme keguruan negara.

Beliau berkata, pandangan berhubung cadangan itu diamati secara serius seiring dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju supaya upah dan gaji penjawat awam dinilai semula.

Menurut beliau, isu terbabit pastinya akan menjadi tumpuan awam sebaik sahaja ekonomi negara kembali pulih.

“Cadangan itu tidak lari daripada hasrat kami di peringkat kementerian untuk melihat perkara sama dan ia dalam radar perbincangan dan dalam konteks untuk meningkatkan kualiti guru dari segi kelayakan, maknanya integriti, kualiti dari segi perkhidmatan guru.

“Kita tidak pernah menghalang guru daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, malah ruang dan peluang dibuka seluasnya untuk mereka.

“Selain itu, kita akan lihat dari segi integriti, keperluan malah dari sudut kualiti guru ini turut akan ditingkatkan dari semasa ke semasa dan ketika ini mereka sangat layak dan ‘well trained’ (terlatih),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN