Nabila Razali belajar hidup sendiri - Utusan Malaysia

Nabila Razali belajar hidup sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN demi kejayaan ditempa penyanyi muda ini. Biarpun jalan yang harus ditempuh tidak semanis yang disangka, namun pencapaian peribadinya menjadi bukti pahit yang ditelan ada kemanisan tersendiri.

Melangkah ke rumah baharu miliknya sendiri, penyanyi, Nabila Razali kini mula belajar hidup sendiri. Walaupun selesa hidup bersama keluarga sebelum ini, namun dia perlu tahu resam hidup berdikari.

“Tak pernah saya impikan akan berjaya memiliki rumah sendiri. Dulu fikir, mesti susah nak beli rumah. Lagipun saya ini anak seni, kita tidak ada slip gaji semua. Tetapi Tuhan permudahkan rezeki saya dalam industri seni.

“Saya sudah lama rancang untuk beli rumah. Tetapi tiga tahun lepas, saya mula serius dan setelah melalui beberapa proses, Alhamdulillah lulus.

“Saya tinggal sendiri sahaja, kena belajar berdikari. Tetapi ahli keluarga sentiasa datang teman. Setakat ini tak pernah lagi tidur seorang. Lagipun saya bukan makin muda, perlu juga ada ruang sendiri,” katanya.

Nabila yang membeli kediaman semi D di Taman Templer, Rawang itu juga mengakui berhabis sehingga jutaan ringgit untuk pembelian dan dekorasi rumah.

Malah penyanyi Peluang Kedua ini terpaksa menahan nafsu untuk membeli barangan peribadi yang menjadi idaman hati.

“Ala janganlah tanya berapa juta. Apa yang saya boleh katakan, banyak juga berhabis untuk rumah ini. Terpaksa tengok sahaja orang membeli, kena tahan nafsu.

“Tetapi saya dari kecil sudah dididik untuk menyimpan. Sekarang pun ada banbyak cara untuk kita menyimpan dan melabur. Mengikut kesesuaian dan keinginan kita. Kena banyak belajar lah selok-beloknya,” katanya.

Ditanya tidakkah kesenangan yang dimiliki membuatkan ramai lelaki takut mendekatinya, Nabila hanya tergelak sendiri.

Baginya, lelaki yang serius mahu mengenalinya harus sama rajin dalam mencari rezeki.

“Bagi saya yang penting kena rajin dan percaya dengan rezeki Tuhan. Saya juga percaya, sebagai wanita, saya perlu tahu macam mana mahu berdiri atas kaki sendiri.

“Tidak bergantung harap dengan orang lain. Ekonomi sekarang juga tidak begitu stabil. Ada turun naiknya, jadi kena pandai berbelanja dan menyimpan,” ujarnya.
FOKUS DUNIA NYANYIAN

Membuka gelanggang bicara tentang kerjaya seni, Nabila berkata, ketika ini, dia lebih senang memberi fokus kepada dunia nyanyian namun dalam pada masa sama terbuka untuk menerima tawaran berlakon.

Kongsinya, dia bakal melancarkan sebuah single baharu September depan namun tidak mahu mendedahkan perancangannnya.

“Saya baru sahaja melancarkan lagu runut bunyi drama Bukan Puteri Lindungan Bulan, Tulus duet bersama Adi Prityo. Sebelum itu, saya juga ada melancarkan lagu duet bersama Khai Bahar, Selagi Ku Ada.

“Ramai juga tanya kenapa saya banyak berkolaborasi dengan rakan artis, mengapa tidak lancar single sendiri. Saya fikir, ini adalah strategi pemasaran yang terbaik. Sebelum ini, saya akan lancar satu single setahun.

“Tetapi bila kita berkolaborasi dengan artis lain, peluang dan ruang itu lebih luas. Apatah lagi bila terpilih sebagai runut bunyi sesebuah drama,” kata anak kelahiran Selangor ini.

Bercakap tentang lakonan, penyanyi Vroom Vroom itu bakal terlibat dengan penggambaran sebuah drama awal tahun depan.

“Saya memang suka berlakon, macam ambil rehat sekejap daripada dunia nyanyian. Tetapi fokus saya tetapi menyanyi.

“Bila dapat tawaran berlakon, saya anggap itu satu amanah dan tanggungjawab. Kena buat betul-betul. Dalam masa terdekat tidak ada cuma tahun depan, ada.

“Saya juga sudah sedekad dalam industri. Banyak yang telah saya lalui. Selagi diterima, Alhamdulillah. Minat atau tidak, itu kita tolak tepi. Yang penting kita buat yang terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN