PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah berkaliber, Sabri Yunus memberi teguran kepada mana-mana selebriti supaya tidak takut untuk membuat permohonan maaf terhadap sebarang kontroversi yang timbul.
Jelasnya, sikap meminta maaf adalah perbuatan yang mulia dan sangat dituntut dalam agama sekali gus dapat meredakan konflik yang berlaku.
“Dalam keseluruhan konteks, orang yang mengaku bersalah memohon maaf adalah sifat yang mulia. Kalau bersalah perlu minta maaf, tak bersalah pun perlu minta maaf juga sebab orang lain tetap anggap kita bersalah. Tak menjadi masalah pun sebenarnya.
“Ia adalah sifat yang dituntut dalam kehidupan kita beragama. Jadi jangan takut hendak minta maaf,” katanya selepas sidang akhbar program baharu terbitan Astro Warna, Mega Spontan di sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Menerusi permainan lawak spontan itu, Sabri dipilih sebagai mentor, selain Douglas Lim, Zizan Razak dan Kamal Adli yang akan membantu strategi kumpulan yang diwakili.
Ditanya permohonan maaf akan menjatuhkan maruah seseorang artis, Sabri menidakkan perkara tersebut kerana sikap tersebut sebenarnya mengangkat maruah seseorang.
Katanya, dia sendiri tidak mempunyai masalah untuk memohon maaf setiap kali bertemu dengan mana-mana individu.
“Saya rasa tiada masalah sebab kalau kita borak biasa pun selalu akan cakap minta maaf sebelum berlalu pergi.
“Tak jatuh ego sebab kita yang selalu merasakan berat untuk minta maaf. Sedangkan kalau melepaskan benda berat, kita sendiri akan berasa lega,” katanya.