NEW YORK: Pelakon dan penerima Anugerah Akademi Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh menjadi antara selebriti popular menghadiri acara berprestij Malam Gala Metropolitan yang berlangsung di Muzium Kesenian Metropolitan, New York, hari ini.
Dalam majlis tersebut, pelakon Everything Everywhere All At Once itu nampak menyerlah menyarungkan gaun potongan besar berwarna monokrom dengan lengan kembang yang memberikan imej dramatik.
Ini bukan kali pertama Yeoh diundang ke acara berprestij berkenaan. Sebelum ini juga pelakon itu hadir ke Met Gala dalam busana gaun bewarna hijau hasil sentuhan Prabal Gurung.
Tidak hanya Yeoh, turut menjadi tumpuan di majlis berkenaan tentunya dua wanita jelita daripada Korea Selatan iaitu Jennie daripada kumpulan Blackpink dan Song Hye-kyo.
Sebagai duta jenama fesyen Chanel, Jennie dilihat tampil dalam busana gaun pendek bertemakan vintaj dengan aksesori bunga mawar di telinga kirinya.
Manakala pelakon The Glory, Hye-kyo dilihat anggun memakai gaun satin bewarna merah jambu dengan renda putih daripada jenama terkenal Fendi.
Bertemakan Karl Lagerfeld: A Line of Beauty, semua selebriti yang hadir menyarungkan busana terbaik daripada jenama fesyen terkenal dunia bagi memperingati pemergian ikon fesyen dunia, Karl Lagerfeld yang meninggal dunia pada Februari, 2019.
Sepanjang hayat, Lagerfeld pernah bekerjasama dengan jenama fesyen terkemuka seperti Chanel, Fendi, Chloe dan lain-lain sepanjang 60 tahun penglibatannya.
Met Gala merupakan acara tahunan yang diadakan setiap hari Isnin pertama pada bulan Mei sejak tahun 2005. Namun acara ini dibatalkan pada tahun 2020 dan diadakan kembali pada bulan September tahun 2021 akibat pandemik.