MHO nafi cuba timbul kekacauan di Sabah

MHO nafi cuba timbul kekacauan di Sabah

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menafikan pihaknya cuba untuk mewujudkan ketidakharmonian dan kekacauan di Sabah. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini kerana niat dan matlamat MHO adalah untuk membela mana-mana pihak tertindas, yang merasa mereka dizalimi dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. 

Katanya, beliau tidak pasti sama ada kenyataan (Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor) ditujukan kepada MHO, tetapi jika lihat rekod prestasi MHO, pihaknya banyak menjadi jurucakap kepada mana-mana isu yang melibatkan penindasan dan kezaliman. 

Katanya, track record itu menunjukkan bagaimana MHO memperjuangkan isu stateless supaya isu itu diselesaikan. 

“Kita juga pernah melakukan usaha untuk menyuarakan bagaimana rakyat Malaysia telah ditangkap, ditipu dalam job scam di Laos dan Myanmar menggunakan saluran yang ada. 

“MHO juga mempunyai track record bagaimana memperjuangkan mangsa-mangsa yang telah ditipu dalam skim pelaburan dengan membawa mangsa ke depan pihak berkuasa supaya siasatan dan pertuduhan di mahkamah dapat dilaksanakan. 

“Jadi ini menunjukkan MHO tidak mempunyai apa-apa niat untuk mencetuskan ketidakharmonian dan kekacauan, sebaliknya niat MHO adalah suci dan ikhlas ingin membantu mereka yang membuat aduan,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial. 

Beliau berkata demikian susulan Hajiji dilapor berkata, kerajaan negeri memandang serius dengan trend kemasukan pertubuhan atau individu dari luar yang semakin kerap masuk ke negeri itu untuk menghasut dan membawa rakyat Sabah agar membuat demonstrasi serta bantahan secara tidak terkawal. 

Tambah Hajiji, kerajaan negeri akan menggunakan kuasa yang diperuntukkan untuk menghalang kemasukan ke Sabah bagi mana-mana pertubuhan atau individu daripada luar yang mengganggu keharmonian serta ketenteraman di Sabah. 

Sebelum ini, kira-kira 1,000 penduduk kampung dari lima daerah bersama MHO menyerahkan memorandum kepada Jabatan Ketua Menteri Sabah bagi menggesa kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah adat yang sudah membelenggu ribuan rakyat di negeri itu.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, melalui semua ucapannya sebelum ini, beliau juga sentiasa mengingatkan pengadu supaya mematuhi undang-undang dalam setiap aktiviti yang dilakukan. 

Katanya, ia menunjukkan MHO komited dalam mematuhi segala undang-undang yang ada. 

“Kita juga telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan keselamatan kerana banyak membantu kita dalam membuat serahan aduan dan kita terhutang budi kepada pihak berkuasa kerana banyak membantu kita. 

“Kita juga telah memberikan kredit kepada mana-mana pihak termasuk pihak Ketua Menteri sekiranya dapat meyelesaiakan masalah ini kerana isu itu bukan melibatkan kepentingan MHO, tetapi kepentingan rakyat Sabah yang begitu tertekan (kerana) tanah yang telah diambil oleh pihak ketiga. 

“Untuk makluman juga, semua aktiviti yang dilakukan pihak MHO telah sampai kepada pihak berkuasa. Kita mempunyai bukti jelas bagaimana kita memaklumkan pihak berkuasa kerana tahu bahawa program kita tidak dapat dilaksanakan dengan baik tanpa bantuan pihak berkuasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.