KUALA LUMPUR: Para pemimpin parti politik hadir ke Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di tengah desas-desus khabar angin pembangkang dikatakan memperoleh sokongan 126 ahli Parlimen.
Sejak minggu lalu, ura-ura menyatakan kononnya pembangkang memperoleh sokongan ahli Parlimen sekali gus dikatakan berupaya menggugat kedudukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah khabar angin itu dikatakan melibatkan dalam kalangan ahli Parlimen daripada blok kerajaan sendiri.
Sebaliknya kehadiran para pemimpin Kerajaan Perpaduan ke mesyuarat itu di Menara Dato Onn di sini hari ini dilihat menamatkan spekulasi tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di sini pada pukul 8 malam.
Selain Pakatan Harapan (PH), Kerajaan Perpaduan didukung Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah dan parti lain serta wakil rakyat Bebas sekali gus meraih sokongan 148 ahli Parlimen.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran Facebook menunjukkan beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN pada pukul 5 petang tadi.
Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ia turut dihadiri pemimpin komponen MCA dan MIC. – UTUSAN