Menang cabutan utama, pesara bawa pulang Mercedes Benz C200 - Utusan Malaysia

Menang cabutan utama, pesara bawa pulang Mercedes Benz C200

ONG Chin Eng (kiri) bersama isteri, Ehquee Choo (dua dari kiri) dan R. Ramanathan (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen 'Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0' CASA-i (SBMB 2.0) di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Seorang pesara swasta tidak menduga dipilih sebagai pemenang hadiah cabutan utama Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0 CASA-I (SBMB 2.0) MBSB Bank Berhad (MBSB) sekali gus membawa pulang sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz C200 hari ini.

Ong Chin Eng, 65, yang berasal dari Kluang, Johor menerima ‘durian runtuh’ itu selepas namanya diumumkan sebagai pemenang bagi cabutan utama untuk suku kedua SBMB 2.0.

Selain Chin Eng, enam lagi pemenang iaitu Yong Pao Chui; Ong Chin Boon; Nurul Huda Osman; Yeoh Kwee Hong; Kung Lai Kheng dan Chan Wei Meng masing-masing membawa pulang wafer emas keluaran syarikat Habib Jewel bagi Cabutan Simpanan Tinggi Serantau Wilayah Utara.

Menurut Ketua Pegawai Kewangan MBSB Bank, R. Ramanathan, sejak bermulanya kempen tersebut iaitu September tahun lepas hingga bulan ini, pihaknya telah menerima sebanyak 62,638 penyertaan.

Beliau berkata, MBSB Bank juga melihat peningkatan dalam jumlah deposit akaun simpanan dan akaun semasa PrimeWin-i
melalui kempen itu dan amat menghargai sokongan yang diberi oleh para pelanggan.

Katanya, selain kereta mewah, pelbagai hadiah lain termasuk motosikal, telefon pintar dan wang tunai yang secara keseluruhannya bernilai RM2.4 juta turut ditawarkan sepanjang kempen tersebut.

“Kempen ini ada tujuh kategori cabutan iaitu bulanan, kesetiaan, simpanan baharu, digital, simpanan tinggi serantau, istimewa serta utama.

“Mereka yang berminat menyertai kempen SBMB 2.0 ini boleh membuka akaun simpanan atau Akaun Semasa PrimeWin-i dengan jumlah deposit minimum iaitu RM100 di mana-mana cawangan MBSB Bank atau secara dalam talian di www.mbsbbank.com,” katanya yang menambah, kempen tersebut dijangka berakhir hujung bulan ini.

Selain pemenang cabutan utama serta enam pemenang cabutan simpanan tinggi serantau, turut diumumkan pada majlis penyampaian hadiah itu ialah sembilan pemenang hadiah cabutan istimewa.

Antara hadiah yang ditawarkan untuk kategori cabutan itu ialah sebuah basikal lipat Croze Pro; pakej umrah; pakej percutian ke Eropah; Thermomix; Wafer Emas Habib serta Kad Hadiah Petronas.

Dalam pada itu, Chin Eng ketika ditemui pemberita mengakui masih terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang cabutan utama hari ini.

Dia yang telah menyimpan di bank itu sejak lebih 10 tahun lalu kelihatan begitu teruja dan sangat gembira dengan hadiah tersebut.

“Tak tahu nak cakap apa. Banyak ‘happy’ (gembira) sahaja,” katanya yang hadir bersama isteri, Ehquee Choo dan kini mengusahakan sebuah kebun secara kecil-kecilan selepas bersara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya