300 warga asing masih mendiami penempatan haram

300 warga asing masih mendiami penempatan haram di Kg Budiman

BIARPUN digenangi air bertakung dan pernah diserbu berkali-kali, penempatan haram warga asing dekat Jalan Hamzah masih kekal berdiri di Kampung Budiman, Shah Alam dalam tinjauan baru-baru ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya seramai 300 orang warga asing dipercayai masih tinggal di 30 rumah kongsi dalam kawasan penempatan haram yang belum dirobohkan dekat Jalan Hamzah, Kampung Budiman, di sini.

Penolong Pengarah Kanan Seksyen Operasi Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Zakaria Mat Piah berkata, situasi tersebut dikesan melalui pemantauan yang dilakukan semula oleh pihaknya.

“Daripada pemantauan semula yang dibuat pada 7 Julai didapati masih ada kira-kira 30 buah rumah kongsi yang dengan anggaran 300 orang masih berada dalam di tanah persendirian iaitu di Jalan Hamzah, Kampung Budiman, Seksyen U14,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan tindakan perobohan akan dilakukan di kawasan berkenaan selepas pihaknya selesai melaksanakan penyerahan notis kepada pemilik tanah tersebut.

“Tindakan penguatkuasaan (perobohan) akan dilaksanakan apabila selesai semua notis di bawah Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Teknikal MBSA kepada semua pemilik tanah yang terlibat.

“Sekiranya notis tidak dipatuhi tindakan penguatkuasaan iaitu tindakan perobohan dan pendakwaan di mahkamah akan dilaksanakan oleh pihak MBSA,” jelasnya.

Akhbar pernah ini melaporkan ratusan penempatan haram warga asing di Setia Alam dan Kampung Budiman di sini dirobohkan manakala pemilik tanah pula diarah memulihkan semula kawasan berkenaan.

MBSA kemudian mengesahkan semua rumah kongsi yang dibina da­lam lot persendirian itu tidak mempunyai sebarang kelulusan.

“Proses perobohan masih di­la­­kukan, pemantauan secara ber­­­­te­­rusan akan dilaksanakan ba­gi memastikan kerja-kerja pe­ro­­bohan disempurnakan sepenuhnya,” katanya.

Malah dalam tinjauan di kawasan berkenaan sebelum ini turut mendapati terdapat lebih daripada lima sambungan paip dipercayai haram yang membekalkan air bersih bagi kegunaan penduduk di kawasan penempatan haram berkenaan.

Dalam pada itu, Zakaria memberitahu pihaknya akan berhubung dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) bagi membuat semakan terhadap sambungan bekalan elektrik dan air di kawasan berkenaan.

“Hasil semakan ditapak pihak MBSA tidak dapat mengenal pasti dengan jelas sekiranya ada sambungan elektrik dan air di lokasi penempatan tersebut. Semakan bersepadu bersama TNB dan Air Selangor perlu dibuat secara menyeluruh di kawasan tersebut.

“Pemantauan dan semakan di tapak akan dilaksanakan oleh pihak Majlis. Setakat ini tiada aduan baru yang diterima kawasan tanah rezab kerajaan atau persendirian yang dijadikan penempatan rumah kongsi,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN