Maut selepas beli air kepada abang yang kemalangan

Maut selepas beli air kepada abang yang kemalangan

NUR SYAWANI NAJWA ABDUL RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang remaja perempuan maut setelah terlibat kemalangan yang membabitkan dua buah motosikal di Kampung Lata Bayu, Kupang di sini kira-kira pukul 4.40 petang, semalam.

Mangsa, Nur Syawani Najwa Abdul Razak, 15, ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Asam Jawa, di sini setelah keluar membungkus air kepada abangnya yang terlantar sakit akibat kemalangan jalan raya pada kelmarin.

Sepupu mangsa, Hamidah Hambali, 52, berkata, Nur Syawani Najwa menunggang motosikal untuk pergi ke kedai berhampiran kampungnya sebelum terlibat dalam nahas terbabit.

“Anak bongsu daripada lima beradik itu keluar ke kedai untuk belikan air sirap kepada abang sulungnya, Mohamad Hirmizi yang patah bahu kanan kerana terlibat kemalangan di Kuala Pegang ketika pulang dari tempat kerjanya sehari sebelum kejadian menimpa Nur Syawani.

“Cuaca hari kejadian agak panas di rumah, jadi abangnya minta tolong Nur Syawani sementara ibu mereka pula, Aziah Awang, 55, tidak sihat kerana baharu sahaja menjalani pembedahan potong kaki pada Ramadan lalu kerana menghidap diabetes,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mangsa yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera, Baling meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai telah memotong sebuah kereta, namun malangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dinaiki dua remaja perempuan berusia 18 dan 19 tahun.

“Akibat pertembungan tersebut, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala manakala penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia pula dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, jenazah Nur Syawani Najwa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Caruk Merbau, Asam Jawa, di sini sekitar pukul 1.30 pagi tadi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya