Mangsa kemalangan maut sepatutnya bertunang Jumaat ini

Mangsa kemalangan maut sepatutnya bertunang Jumaat ini

SALMAH Idrus gambar Nuralifah Ilyana Azman yang cedera parah akibat kemalangan bersama bakal tunang di rumahnya di Kampung Seberang Pintasan, Dungun, Terengganu - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Gerak hati seorang ibu yang berasakan sesuatu yang buruk berlaku apabila anaknya lewat pulang, terjawab selepas gadis itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 105 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran kawasan perindustrian Kerteh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, anak perempuannya, Nuralifah Ilyana Azman, 21, cedera parah manakala bakal tunangnya, Muhammad Aliff Hafizzudin Samsul, 24, meninggal dunia selepas pulang daripada membeli barangan persiapan perkahwinan.

Salmah Idrus, 53, berkata, dia hanya mengetahui kejadian tersebut selepas dihubungi ahli keluarga bakal menantunya kira-kira pukul 1 pagi semalam.

“Mereka dijadual bertunang Jumaat ini selepas solat Jumaat di rumah saya.

“Semalam, selepas Zohor Aliff (Muhammad Aliff Hafizzudin) menjemput anak saya untuk membeli cincin tunang dan barang-barang hantaran. Mereka memang teruja untuk bertunang sebab sudah hampir tujuh tahun berkawan,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Pintasan, di sini, semalam.

Salmah berkata, dia berasa resah dan tidak dapat tidur berikutan anaknya tidak pulang sehingga pukul 11 malam.

“Biasanya mereka pulang sebelum pukul 11 malam, namun agak pelik sebab sudah lewat pun belum balik,” katanya.

Salmah berkata, kemalangan tersebut menyebabkan Nuralifah Ilyana patah bahagian paha kanan dan pinggang kiri kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Dia meraung dan menangis apabila tahu bakal tunangnya terkorban dalam kemalangan itu selepas diberitahu anak lelaki saya yang menjaganya di hospital.

“Bagaimanapun, anak lelaki saya cuba meredakan emosinya dan kami sekeluarga reda dengan ujian ini,” katanya.

Selain itu, katanya, segala persiapan termasuk pelamin dan baju pertunangan telah siap ditempah dan barangan memasak juga telah dibeli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN